Israel beri amaran terakhir keluar dari Gaza City - Utusan Malaysia

Israel beri amaran terakhir keluar dari Gaza City

KEPULAN asap kelihatan dari Menara al-Ruya, berhampiran khemah perlindungan penduduk Palestin di kawasan Rimah di Gaza City, pada 8 September lalu.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZA CITY: Tentera Israel semalam mengeluarkan amaran terakhir kepada penduduk Gaza City supaya berpindah ke selatan ketika operasi pengeboman dan serangan darat semakin dipertingkatkan.

Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz berkata, peluang itu adalah yang terakhir buat penduduk untuk meninggalkan bandar berkenaan, sambil memberi amaran mereka yang masih kekal akan dianggap sebagai pengganas dan penyokong pengganas.

Agensi Pertahanan Awam Gaza melaporkan sekurang-kurangnya 46 penduduk terkorban pada Rabu, termasuk 36 di Gaza City manakala Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC) turut mengumumkan pihaknya terpaksa menggantung operasi di bandar itu berikutan serangan semakin hebat.

Tindakan Israel itu sekali gus menimbulkan kebimbangan pakar undang-undang antarabangsa menyifatkan arahan pemindahan sebagai bentuk pengusiran paksa dan menegaskan orang awam yang kekal di kawasan tersebut tetap mempunyai perlindungan di bawah undang-undang antarabangsa.

Dalam pada itu, Hamas dilaporkan sedang menimbangkan untuk meminta pindaan terhadap pelan damai 20 perkara yang diumumkan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.

Pelan tersebut mengkehendaki Hamas melucutkan senjata, melepaskan peranan politik di Gaza serta membebaskan 48 tebusan Israel dalam tempoh 72 jam selepas gencatan senjata dikuatkuasakan dan sebagai balasan, Tel Aviv perlu membebaskan hampir 2,000 tahanan Palestin dan berundur secara berperingkat ke zon penampan.

Bagaimanapun, sumber Hamas memberitahu AFP kumpulan itu mahu jaminan antarabangsa agar Israel berundur sepenuhnya dari Gaza serta tidak melaksanakan pembunuhan terancang terhadap kepimpinan Hamas.

Mesir dan Qatar turut menegaskan beberapa perkara dalam pelan Trump memerlukan rundingan lanjut.

Rundingan dijangka diteruskan di Doha dengan penyertaan mediator dari Mesir, Qatar dan Turkiye.

Pelan Trump setakat ini mendapat sokongan luas termasuk daripada Pihak Berkuasa Palestin, Mesir, Jordan, Qatar, Arab Saudi serta Emiriah Arab Bersatu.

Pemimpin dunia seperti Presiden Perancis, Emmanuel Macron dan Canselor Jerman, Friedrich Merz turut menyambut baik inisiatif tersebut namun, faksi bersenjata sekutu Hamas menolak cadangan berkenaan kerana menyifatkannya sebagai menyerahkan kawalan Gaza kepada Israel.

Netanyahu pula menegaskan tentera Israel tetap akan berada di kebanyakan kawasan Gaza walaupun pelan tersebut menyebut sebaliknya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN