BANGKOK: Ibu kepada Raja Thailand, Sirikit yang terkenal dengan keanggunan dan bakti kepada institusi diraja selepas perang, meninggal dunia pada usia 93 tahun semalam, menurut Pejabat Rumah Tangga Diraja Thailand.
Sirikit, yang jarang muncul di khalayak umum sejak mengalami strok pada 2012, merupakan pasangan Raja Bhumibol Adulyadej, pemerintah terlama di Thailand dengan 70 tahun di atas takhta sejak 1946. Pasangan diraja ini terkenal dengan kerja amal mereka yang memenangi hati rakyat Thailand.
Selain bakti di dalam negara, Sirikit turut memikat perhatian antarabangsa. Semasa lawatan ke Amerika Syarikat pada 1960, majalah Time menggambarkan beliau sebagai “anggun” dan “archfeminist”, manakala akhbar Perancis, L’Aurore, menyifatkan beliau sebagai “menawan”.
Dilahirkan pada 1932, tahun Thailand beralih daripada monarki mutlak ke monarki berperlembagaan, Sirikit membesar dalam keluarga duta Thailand ke Perancis.
Beliau bertemu Raja Bhumibol semasa belajar di Paris, dan berkahwin pada usia 17 tahun pada 1950 selepas pertunangan setahun sebelumnya.
Sirikit juga terkenal dengan sumbangan kepada industri sutera Thailand. Beliau bekerjasama dengan pereka Perancis, Pierre Balmain, menghasilkan pakaian daripada sutera tempatan serta mempromosi teknik tenunan tradisional.
Selama lebih empat dekad, beliau turut mengiringi raja ke kampung-kampung luar bandar untuk mempromosi pembangunan sosioekonomi rakyat miskin.
Selain bakti sosial, Sirikit pernah memegang jawatan pemangku raja sementara pada 1956. Hari lahirnya pada 12 Ogos telah dijadikan Hari Ibu dan cuti kebangsaan pada 1976.
Anak lelakinya, Raja Maha Vajiralongkorn, kini menaiki takhta sebagai Rama X selepas kemangkatan Raja Bhumibol pada 2016.
Sirikit dikenang bukan sahaja sebagai simbol keibuan dan bakti sosial, tetapi juga sebagai tokoh yang kadang-kadang menyentuh arena politik secara tersirat. Beliau meninggalkan seorang anak lelaki, Raja Vajiralongkorn, dan tiga orang anak perempuan. Kematian Ratu Ibu Sirikit diraikan dengan penuh penghormatan oleh rakyat Thailand.










