COLUMBIA: Sepasang suami isteri di negeri South Carolina menjadi tumpuan apabila hiasan api marak di rumah mereka sempena sambutan Halloween disangka sebagai kebakaran sebenar sehingga mendorong orang ramai untuk membuat laporan kepada pihak bomba.
Amanda Peden dan Sam Lee bukan asing dalam kalangan penduduk setempat kerana kreativiti mereka dalam menghias rumah setiap kali tiba musim Halloween.
Minat mendalam terhadap hiasan menyeramkan itu bermula sejak tahun empat tahun lalu dan pada 2023, pasangan itu memperkenalkan hiasan rumah ‘terbakar’ yang begitu realistik sehingga masih mencetuskan kekeliruan dua tahun kemudian.
Hiasan berkenaan menggabungkan penggunaan mesin asap, pencahayaan khas serta teknik rakaman kamera yang licik sehingga kelihatan seperti kebakaran sebenar.
Ketua Bomba Fountain Inn, Russell Alexander berkata, pihaknya masih menerima panggilan kecemasan setiap kali orang ramai yang lalu di kawasan itu kerana menyangka rumah berkenaan sedang terbakar.
“Ketika Amanda mula memasang hiasan ini dua tahun lalu, kami menerima panggilan bertubi-tubi. Tahun ini tidak seteruk dahulu, tetapi sehingga 6 Oktober lalu kami sudah terima empat panggilan,” katanya.
Beliau menjelaskan pihak bomba sentiasa berhubung dengan pasangan itu bagi memastikan tiada kebakaran sebenar berlaku.
Malah, setiap kali laporan diterima, pasukan bomba akan membuat panggilan atau menghantar anggota ke lokasi untuk memastikan keadaan selamat.
Menurut Alexander, dari sudut profesional, asap yang dihasilkan hiasan itu tidak sama seperti asap kebakaran sebenar kerana pergerakannya perlahan dan warnanya berbeza, namun bagi orang awam, pemandangan tersebut kelihatan cukup meyakinkan.
Amanda melalui hantaran di laman Facebook dan TikTok pada 4 Oktober lalu turut memberi amaran kepada penduduk agar tidak membuat laporan palsu.
“Rumah saya sedang ‘terbakar’ (bukan kebakaran sebenar). Lampu akan dinyalakan setiap malam dari pukul 8 hingga 10 malam sehingga 31 Oktober. Tolong jangan hubungi bomba!” katanya.
Pasangan itu kini menjadi sebutan di kawasan Fountain Inn, ada yang memuji kreativiti dan keunikan idea mereka, manakala segelintir pula berpendapat hiasan sedemikian wajar diharamkan kerana boleh menimbulkan panik dalam komuniti.-AGENSI