WASHINGTON: Tiga individu dilaporkan parah selepas sebuah helikopter perubatan terhempas di tengah lebuh raya di California, menurut laporan media tempatan.
Menurut Jabatan Bomba Sacramento, insiden berlaku sekitar pukul 7 malam (waktu tempatan) di laluan timur Lebuh Raya 50 berhampiran ibu negeri Sacramento.
Data penjejakan penerbangan menunjukkan helikopter itu berlepas dari Pusat Perubatan UC Davis hanya beberapa minit sebelum nahas.
Helikopter berkenaan membawa seorang juruterbang, jururawat dan paramedik yang kesemuanya dibawa ke hospital dalam keadaan kritikal, lapor CNN yang memetik kenyataan jabatan bomba.
Tiada pesakit berada di dalam pesawat ketika kejadian dan tiada kenderaan lain terbabit.
Rakaman di media sosial menunjukkan helikopter itu berlegar di udara sebelum terhempas berhampiran pembahagi jalan dan diselubungi asap tebal.
Orang awam yang berada di lokasi turut membantu pasukan penyelamat mengangkat badan helikopter bagi mengeluarkan seorang mangsa yang tersepit.
Pejabat Highway Patrol South Sacramento memaklumkan laluan timur Lebuh Raya AS-50 serta dua susur masuk ditutup sepenuhnya dengan tempoh pembukaan semula belum diketahui.
“Orang ramai diminta menggunakan laluan alternatif dan menjangka kelewatan,” katanya di platform X (Twitter).
Siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca nahas, dengan Pejabat Sheriff Sacramento County membantu pihak peronda lebuh raya, lapor CBS News.
Rekod Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) menunjukkan helikopter tersebut didaftarkan di bawah syarikat REACH Air Medical Services.
Pengarah komunikasi syarikat induk REACH, Global Medical Response, Kirsten Gurmendi berkata, pihaknya sedang meneliti butiran insiden serta keadaan kru yang terlibat.
“Kami sedang mendapatkan maklumat lanjut mengenai kejadian ini serta keadaan kru REACH yang kini dirawat di hospital,” katanya.- AFP.










