SHARM EL-SHEIKH, Mesir: Hamas menyatakan kesediaan mencapai perjanjian bagi menamatkan perang di Gaza, namun menegaskan mereka memerlukan jaminan kukuh agar konflik tidak berulang pada masa hadapan.
Kenyataan itu dibuat pada Selasa, sempena ulang tahun kedua serangan 7 Oktober 2023 yang mencetuskan perang paling berdarah antara Israel dan Hamas.
Rundingan damai kini berlangsung secara tidak langsung di resort Sharm el-Sheikh, Mesir, dengan penyertaan perantara dari Amerika Syarikat (AS), Qatar dan Turkiye.
Pemimpin kanan Hamas, Khalil Al-Hayya dalam wawancara dengan saluran televisyen Mesir Al Qahera News berkata, delegasinya datang untuk terlibat dalam rundingan yang serius dan bertanggungjawab.
“Kami bersedia capai perjanjian, tetapi memerlukan satu jaminan sebenar agar perang ini benar-benar berakhir dan tidak berulang,” katanya.
Rundingan kali ini berdasarkan pelan perdamaian yang dicadangkan oleh Presiden AS, Donald Trump yang yakin semua pihak yang terlibat boleh menjayakan misi pelan, bukan sahaja di Gaza, malah di seluruh Asia Barat.
Menurut sumber yang rapat dengan rundingan, sesi pada Selasa ditangguhkan dengan suasana lebih positif berbanding hari sebelumnya.
SYARAT TEGAS HAMAS
Dalam kenyataan berasingan, pegawai kanan Hamas, Fawzi Barhoum berkata, sebarang perjanjian harus merangkumi pengunduran penuh tentera Israel dari Gaza, gencatan senjata kekal dan menyeluruh serta permulaan segera proses pembinaan semula Gaza, dikendalikan oleh badan teknokratik Palestin
“Hamas tidak akan berkompromi terhadap senjata atau hak rakyat Palestin,” katanya, sambil menyifatkan rundingan ini sebagai usaha terakhir mengakhiri penderitaan rakyat Gaza.
Namun, Israel secara konsisten menolak syarat-syarat tersebut dan mahukan Hamas dilucutkan senjata iaitu perkara paling ditolak sepenuhnya oleh kumpulan pejuang itu.

Gabungan pelbagai fraksi Palestin turut mengeluarkan kenyataan bersama menegaskan tiada siapa berhak menyerahkan senjata rakyat Palestin.
NETANYAHU KUNCI MULUT, ISRAEL TERUSKAN SERANGAN
Sehingga kini, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung rundingan ini.
Bagaimanapun, kenyataan terdahulu beliau pada hari yang sama menyatakan Israel akan terus mengejar matlamat perangnya termasuk menghapuskan Hamas, membebaskan tebusan dan memastikan Gaza tidak lagi menjadi ancaman.
Sementara rundingan diteruskan, tentera Israel melancarkan serangan baharu terhadap Khan Younis dan Gaza City. Hamas pula didakwa melancarkan roket ke kawasan Netiv Haasara di selatan Israel.
Sekurang-kurangnya 10 rakyat Palestin terbunuh dalam serangan Israel di Gaza pada Selasa, menurut agensi berita rasmi Palestin, Wafa, menjadikan angka korban konflik melebihi 66,600 orang sejak ia bermula.
Sejak Jumaat lalu iaitu hari Trump menggesa Israel menghentikan kempen pengeboman, sekurang-kurangnya 104 orang terbunuh di Gaza
Wartawan Al Jazeera, Hind Khoudary, melaporkan pada Selasa seorang kanak-kanak lelaki ditembak di kepala di timur Gaza dan sekurang-kurangnya enam rakyat Palestin maut dalam serangan berasingan di sekitar Khan Younis.
“Semua orang menunggu perjanjian damai, sementara bom terus menghujani.
“Pasukan Israel terus memusnahkan seluruh kawasan kediaman, tempat yang disangka rakyat Palestin mereka boleh kembali dan membina semula kehidupan mereka,” katanya ketika membuat liputan dari az-Zuwayda, di tengah Gaza.
ACLED, sebuah badan pemantau konflik berpangkalan di AS melaporkan Gaza mengalami lebih daripada 11,110 serangan udara dan dron, serta sekurang-kurangnya 6,250 serangan peluru dan artileri sepanjang tempoh konflik.
Menurut laporan itu, angka korban di Gaza sahaja merangkumi 14 peratus daripada jumlah keseluruhan kematian akibat konflik yang dilaporkan di seluruh dunia dalam tempoh dua tahun terakhir.
Walaupun masih belum ada jaminan kejayaan, rundingan di Sharm el-Sheikh dilihat sebagai peluang paling realistik untuk menamatkan konflik.










