GAZA: Buat pertama kali dalam tempoh berbulan-bulan konflik berdarah di Gaza, kumpulan pejuang Palestin, Hamas mengumumkan kesediaan untuk segera menyertai rundingan bagi membebaskan semua tebusan Israel, berdasarkan pelan damai yang dikemukakan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.
Perkembangan ini sebagai satu detik penting yang berpotensi membuka jalan ke arah gencatan senjata selepas pelbagai usaha sebelum ini menemui jalan buntu.
Walau bagaimanapun, Hamas menegaskan mereka tidak menerima pelan Trump secara bulat-bulat. Kumpulan itu menyatakan kesediaan untuk memasuki rundingan melalui perantara, bagi membincangkan butiran pertukaran tebusan serta penyerahan pentadbiran Gaza kepada sebuah pihak berkuasa Palestin bebas berasaskan teknokrat, yang dibentuk melalui konsensus nasional dan mendapat sokongan Arab serta Islam.
Pelan Trump meletakkan dua tuntutan utama iaitu pembebasan baki 48 tebusan Israel dalam tempoh 72 jam dan penyerahan pentadbiran Gaza, dua syarat yang sebelum ini dianggap garisan merah oleh Hamas.
Namun, kenyataan terbaharu kumpulan itu menunjukkan keterbukaan awal terhadap kedua-dua tuntutan tersebut, sekali gus membuka ruang kepada rundingan lanjutan yang kini turut mendapat sokongan beberapa negara perantara seperti Qatar, Mesir dan Turkiye.
Bagaimanapun, Hamas tidak menyentuh beberapa syarat kritikal dalam pelan Trump, termasuk perlucutan senjata dan pemusnahan infrastruktur ketenteraan mereka.
Mereka juga tidak memberi maklum balas terhadap cadangan penubuhan “Board of Peace” sebuah jawatankuasa antarabangsa yang dicadangkan Trump bagi menyelia pentadbiran Gaza.
Sebaliknya, Hamas menegaskan isu masa depan Gaza dan hak rakyat Palestin akan dibincangkan dalam kerangka nasional yang menyeluruh dan inklusif.
Hamas turut menolak syarat pelan Trump yang mahu kumpulan itu disingkirkan sepenuhnya daripada sebarang bentuk penglibatan dalam pentadbiran Gaza.
Sebaliknya, mereka menegaskan akan turut serta dan memberi sumbangan penuh tanggungjawab dalam perbincangan mengenai masa depan Gaza, sekaligus mencabar naratif yang ingin meminggirkan mereka sepenuhnya daripada proses politik.
Presiden Trump sebelum ini memberi kata dua kepada Hamas untuk menerima pelan damai itu sebelum Ahad, pukul 6 petang waktu AS, atau berdepan dengan serangan ketenteraan yang lebih dahsyat. P
erdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu pula telah menyatakan persetujuan penuh terhadap kerangka pelan tersebut yang turut merangkumi penamatan perang, pembebasan tebusan dan pembangunan semula Gaza di bawah pemantauan antarabangsa.
Di sebalik perubahan pendirian Hamas, penganalisis politik percaya halangan terbesar terhadap perjanjian damai masih terletak pada isu perlucutan senjata, yang terus menjadi titik pertikaian utama.
Wujud juga perpecahan dalaman dalam kepimpinan Hamas antara sayap politik di luar negara dan komander tentera di Gaza, yang mungkin memberi kesan terhadap kesepakatan dalam rundingan akan datang.
Walaupun perjanjian damai muktamad masih jauh daripada dicapai, pengumuman Hamas ini membuka sinar harapan baharu terhadap usaha menghentikan keganasan di Gaza.
Dunia kini menanti sama ada keterbukaan ini mampu diterjemahkan kepada pelan tindakan yang nyata demi menghentikan pertumpahan darah dan memulakan semula pembinaan semula kehidupan rakyat Palestin yang telah lama menderita.










