GAZA: Hamas mengumumkan bahawa pertukaran tebusan dan tahanan Palestin akan dilaksanakan dalam tempoh 72 jam selepas perjanjian damai Gaza mula dikuatkuasakan.
Menurut kenyataan kumpulan itu, tebusan yang masih hidup akan ditukar dengan hampir 2,000 tahanan Palestin yang kini berada di penjara Israel sebagai sebahagian daripada fasa pertama pelaksanaan pelan damai yang dipersetujui bersama.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, pula berkata, beliau akan memanggil mesyuarat kabinet Israel bagi meluluskan pelaksanaan fasa pertama perjanjian tersebut, yang menjadi sebahagian daripada pelan damai Gaza anjuran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.
Hamas pada Khamis mengumumkan pihaknya telah mencapai perjanjian yang menjamin penamatan perang di Gaza, hasil rundingan tidak langsung dengan Israel yang berlangsung minggu ini di Mesir.
Dalam kenyataannya, kumpulan pejuang Palestin itu berkata perjanjian berkenaan merangkumi penamatan perang, pengunduran pasukan pendudukan Israel, kemasukan bantuan kemanusiaan, serta pertukaran tahanan dan tebusan.
Hamas turut menggesa Trump menggunakan pengaruhnya bagi memastikan Israel melaksanakan sepenuhnya perjanjian tersebut dan tidak membenarkan rejim itu mengelak atau melengah-lengahkan pelaksanaannya.
Fasa pertama perjanjian gencatan senjata di Gaza dijadual ditandatangani di Mesir pada Khamis, menurut sumber yang rapat dengan rundingan itu kepada AFP.
Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), António Guterres, menggesa semua pihak agar mematuhi sepenuhnya perjanjian Gaza yang baru dimeterai antara Israel dan Hamas.-AFP










