Hamas kerah 7,000 anggota 'bersihkan' penjenayah, tali barut Israel di Gaza

Hamas kerah 7,000 anggota ‘bersihkan’ penjenayah, tali barut Israel di Gaza

PASUKAN keselamatan Hamas berkawal di kawasan jalan-jalan sekitar Gaza City.-AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZA: Hamas menggerakkan semula kira-kira 7,000 anggota pasukan keselamatannya bagi mengukuhkan kembali kawalan di kawasan Gaza yang ditinggalkan oleh tentera Israel, menurut sumber tempatan.

Kumpulan Palestin itu juga melantik lima gabenor baharu, semuanya mempunyai latar belakang ketenteraan dan sebahagian daripada mereka pernah mengetuai briged dalam sayap bersenjata kumpulan pejuang tersebut.

Perintah kerahan itu dilaporkan dikeluarkan melalui panggilan telefon dan mesej teks yang menyatakan tujuan utama adalah untuk ‘membersihkan Gaza daripada penjenayah dan tali barut Israel’ serta mengarahkan pejuang melapor diri dalam tempoh 24 jam.

Laporan dari Gaza menunjukkan unit bersenjata Hamas sudah pun dikerahkan ke beberapa daerah, dengan ada yang memakai pakaian biasa dan mengenakan seragam biru Polis Gaza.

Ketegangan meningkat mendadak selepas dua anggota pasukan elit Hamas ditembak mati oleh lelaki bersenjata daripada puak Dughmush yang berkuasa di kejiranan Sabra, Gaza City.

Seorang daripada mangsa merupakan anak kepada komander kanan dalam Briged al-Qassam, Imad Aqel, yang kini mengetuai perisikan ketenteraan Hamas.

Mayat mereka dibiarkan di atas jalan, mencetuskan kemarahan dan meningkatkan kemungkinan tindak balas bersenjata besar-besaran oleh Hamas.

Anggota Hamas kemudiannya mengepung kawasan luas yang dipercayai menempatkan lebih daripada 300 anggota bersenjata Dughmush, lengkap dengan mesingan dan bahan letupan buatan sendiri.

Beberapa senjata puak tersebut dipercayai dirompak dari depoh Hamas semasa perang, manakala yang selebihnya berada dalam simpanan mereka sejak bertahun-tahun.

PERANG SAUDARA

Mobilisasi besar-besaran oleh Hamas sudah lama dijangkakan, di tengah ketidaktentuan yang semakin meningkat mengenai siapa akan mentadbir Gaza selepas perang berakhir.

Ini adalah isu utama yang boleh merumitkan permulaan fasa kedua rancangan damai Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, yang menggesa Hamas melucutkan senjata.

Seorang pegawai kanan Hamas yang berpangkalan di luar negara enggan mengulas mengenai laporan pengerahan semula pasukan keselamatan di Gaza, namun menegaskan kumpulan itu tidak akan menyerahkan kawalan wilayah kepada elemen yang disifatkan perosak dan proksi Israel.

“Kami tidak boleh membiarkan Gaza di bawah belas kasihan pencuri dan militan yang disokong oleh penjajahan Israel. Senjata kami adalah sah untuk menentang penjajahan dan ia akan kekal selagi penjajahan masih wujud,” katanya kepada BBC.

Seorang bekas pegawai keselamatan yang pernah berkhidmat lama dengan Pihak Berkuasa Palestin (PA) di Gaza menyatakan kebimbangannya wilayah itu mungkin berdepan satu lagi konflik dalaman.

Katanya, keadaan sekarang menunjukkan tanda-tanda pergaduhan antara kumpulan bersenjata yang boleh membawa kepada pertumpahan darah sesama rakyat Palestin.

“Gaza kini dibanjiri dengan senjata. Perompak mencuri ribuan senjata dan peluru dari simpanan Hamas sepanjang perang, malah ada kumpulan yang menerima bekalan daripada Israel.

“Ini adalah ‘resipi sempurna’ untuk perang saudara. Senjata, kekecewaan, kekacauan dan sebuah gerakan yang terdesak untuk mengembalikan kawalan terhadap penduduk yang hancur dan keletihan,” katanya.

PENGARUH HAMAS

Pakar hak asasi manusia yang menetap di Gaza, Khalil Abu Shammala berkata, masih belum jelas sama ada Hamas akan bersedia menyerahkan kawalan di peringkat lapangan atau cuba menghalang pelaksanaan pelan damai tersebut.

“Tidak dinafikan, ramai penduduk Gaza kini hidup dalam ketakutan terhadap kemungkinan berlakunya pertempuran dalaman, memandangkan terdapat banyak faktor yang boleh mencetuskannya,” katanya.

Beliau berkata, Hamas terpaksa menerima pelan damai itu kerana tekanan hebat yang sedang dihadapinya.

Perkembangan sejak gencatan senjata awal minggu ini menimbulkan kebimbangan mendalam dalam kalangan rakyat Gaza yang sudah pun letih dan tertekan akibat konflik yang berlarutan selama dua tahun.

Gencatan senjata tercapai selepas beberapa hari rundingan di Mesir yang turut melibatkan pertukaran tahanan serta rancangan pembukaan semula lintasan sempadan dan kemasukan bantuan ke Gaza.

Di bawah perjanjian itu, Israel perlu menghentikan pertempuran dan menarik balik sebahagian tenteranya dari Semenanjung Gaza, manakala Hamas akan membebaskan semua baki tawanan sebagai pertukaran bagi pembebasan kira-kira 2,000 tahanan Palestin.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN