Guterres ingatkan UNSC guna dana untuk pembangunan, bukan berperang

Guterres ingatkan UNSC guna dana untuk pembangunan, bukan berperang

ANTONIO GUTERRES
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW YORK: Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres menyeru Majlis Keselamatan PBB (UNSC) menyalurkan sumber yang sering dibelanjakan untuk perang ke arah pembangunan dan keamanan.

Guterres menyampaikan gesaan itu semasa perdebatan terbuka UNSC mengenai masa depan PBB yang diadakan bersempena ulang tahun ke-80 penubuhan badan dunia itu.

Dalam ucapannya melalui pautan video dari Hanoi, Guterres mengimbas kembali kisah UNSC pada musim bunga 1946, di mana kotak undi pertama majlis itu dibuka untuk pemeriksaan sebelum pengundian.

Terdapat sekeping kertas di dalamnya, iaitu mesej daripada pembuat kotak tersebut, seorang mekanik tempatan New York bernama Paul Antonio, yang menzahirkan harapan agar dunia menikmati keamanan yang berkekalan.

“Nota sederhana itu mengingatkan kita mengapa UNSC wujud iaitu untuk rakyat penuh harapan yang selama lapan dekad terakhir meletakkan kepercayaan kepada institusi ini untuk menyelamatkan mereka daripada bencana perang,” kata Guterres.

Katanya, keistimewaan duduk di meja UNSC membawa tanggungjawab besar untuk menghormati kepercayaan rakyat serta menyalurkan sumber yang sering dibelanjakan untuk perang ke arah pembangunan dan keamanan.

“Majlis ini adalah keperluan penting dan kekuatan yang berkuasa untuk kebaikan. Tetapi pada masa yang sama, legitimasinya rapuh. Terlalu kerap, kita melihat ahli badan ini bertindak di luar prinsip Piagam PBB iaitu prinsip yang kita semua setujui sebagai negara berdaulat,” katanya.

Beliau turut menekankan reformasi UNSC adalah perlu dan sudah lama tertangguh bagi mengekalkan keamanan dan keselamatan global, termasuklah pengembangan keahlian.

“Kita bertanggungjawab membentuk badan yang mampu menghadapi cabaran 80 tahun akan datang, yang menegakkan keadilan dan keselamatan untuk semua. Paul Antonio, mekanik itu, tidak pernah duduk di meja ini.

“Beliau tidak pernah berucap atau menandatangani perjanjian. Tetapi beliau mempercayai semua yang hadir di sini jadi saya minta ada semua hormati kepercayaan itu,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN