TEL AVIV: Aktivis alam sekitar terkenal, Greta Thunberg bersama sejumlah aktivis disahkan selamat dan berada dalam keadaan sihat selepas kapal yang dinaikinya diserbu oleh tentera laut Israel dalam operasi memintas flotila bantuan kemanusiaan menuju ke Gaza.
Menurut Kementerian Luar Israel, pasukan tentera menaiki beberapa kapal dalam misi Global Sumud Flotilla, termasuk kapal yang membawa Greta, dan memindahkan aktivis-aktivis yang ditahan ke pelabuhan Israel.
Satu rakaman video turut dikongsi oleh kementerian berkenaan menunjukkan seorang tentera Israel menyerahkan barangan peribadi milik Greta kepadanya selepas ditahan.
“Beberapa kapal flotila dihentikan dengan selamat dan para penumpangnya kini dipindahkan ke pelabuhan Israel. Greta dan rakan-rakannya berada dalam keadaan selamat dan sihat,” menurut kenyataan rasmi itu.
Flotila yang disertai lebih 40 kapal dari pelbagai negara itu bertujuan memecahkan sekatan laut yang dikenakan oleh Israel ke atas Gaza.
Misi bantuan kemanusiaan ini membawa perubatan, makanan dan sokongan moral kepada rakyat Palestin yang terkesan akibat sekatan berpanjangan.
Menjelang tengah malam, sekurang-kurangnya enam daripada 47 kapal dalam flotila itu diserbu tentera Israel, selepas pasukan Israel mengganggu isyarat komunikasi untuk menghalang siaran langsung dan permintaan bantuan.
Setelah dibawa masuk ke wilayah Israel, kesemua aktivis dijangka akan diusir pulang ke negara asal masing-masing.










