JAKARTA: Gempa bumi berukuran 6.3 magnitud melanda wilayah Nusa Tenggara Timur di Indonesia awal pagi Isnin, namun tidak berpotensi mencetuskan tsunami, menurut laporan Agensi Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik (BMKG) negara itu.
Gempa tersebut berlaku pada pukul 12:04 pagi (waktu tempatan), dengan pusat gempa terletak 82 kilometer di barat laut Kabupaten Timor Tengah Utara, pada kedalaman 75 kilometer, kata BMKG di laman web rasminya.
Koordinat pusat gempa direkodkan pada 9.06 darjah latitud selatan dan 123.97 darjah longitud timur.
“Gegaran dirasai oleh penduduk di sini namun tidak mencetuskan panik. Setakat ini, tiada laporan mengenai kerosakan atau korban jiwa. Kami terus memantau sebarang potensi risiko,” kata Ketua Unit Kecemasan Agensi Pengurusan Bencana Nusa Tenggara Timur, Gasper Losa Manisa.-AGENSI










