Gaza rayu bantuan masuk sebelum musim sejuk bermula

Gaza rayu bantuan masuk sebelum musim sejuk bermula

PENDUDUK Palestin berkumpul untuk mendapatkan bantuan makanan daripada dapur amal di kem pelarian Nuseirat, tengah Gaza, kelmarin.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW YORK: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran bantuan kemanusiaan termasuk selimut dan khemah perlu segera disalurkan ke Semenanjung Gaza sebelum musim sejuk, ketika ribuan keluarga terus berpindah susulan gencatan senjata pada 10 Oktober lalu.

Jurucakap PBB, Farhan Haq yang memetik Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA) berkata, keluarga di Gaza kini bergerak ke kawasan baharu yang dapat diakses, dengan sebahagian mereka mencari perlindungan di tapak penempatan sementara yang sudah sesak.

“Rakan kami yang memantau pergerakan penduduk melaporkan hampir 13,800 perpindahan ke arah Gaza City dan utara Gaza, serta sekitar 4,100 pergerakan ke arah timur pada Ahad lalu,” katanya.

Beliau berkata, agensi bantuan di Gaza sedang mempergiat operasi seperti yang digariskan dalam pelan 60 hari, termasuk memperluas kehadiran di kawasan yang sebelum ini tidak dapat diakses dan meningkatkan jumlah bantuan bagi memenuhi keperluan mendesak.

Menurut Farhan, keutamaan ketika ini adalah menyediakan tempat perlindungan.

“Pada Ahad, rakan kemanusiaan mengagihkan 300 khemah kepada keluarga terjejas di Khan Younis serta 14,700 selimut di tapak penempatan di kawasan Al Mawasi,” katanya.

Bagaimanapun, beliau menegaskan lebih banyak perlindungan perlu dibenarkan masuk ke Gaza sebelum musim sejuk bermula bagi mengelakkan lebih banyak bencana kemanusiaan terutamanya dalam kalangan bayi dan kanak-kanak.

“Ini memerlukan pihak berkuasa meluluskan lebih banyak organisasi kemanusiaan untuk membawa masuk bekalan tersebut,” jelasnya.

Berkongsi perkembangan terkini mengenai operasi bantuan di lintasan sempadan, Farhan berkata, pasukan PBB berjaya mengumpul 10,638 tan metrik bekalan penting sejak gencatan senjata bermula dan sehingga 19 Oktober.

“PBB dan rakan-rakan kami juga terus memunggah bekalan di lintasan yang tersedia. 

“Antara 17 hingga 19 Oktober, sebanyak 303 lori PBB dan rakan kongsi dengan 6,455 palet bantuan dipunggah di lintasan Kerem Shalom dan Kissufim menurut Mekanisme PBB 2720,” katanya.

Jelasnya, sebahagian besar bantuan terdiri daripada makanan, manakala selebihnya melibatkan barangan air, sanitasi dan kebersihan.

Di Tebing Barat yang diduduki, beliau melaporkan dua minggu selepas bermulanya musim menuai 2025, kawasan itu menyaksikan serangan serius oleh peneroka bersenjata terhadap lelaki, wanita, kanak-kanak Palestin serta aktivis solidariti antarabangsa.

“Pada separuh pertama tahun 2025 sahaja, sebanyak 757 serangan peneroka yang menyebabkan kecederaan atau kerosakan harta telah direkodkan, peningkatan 13 peratus berbanding tempoh sama pada 2024,” katanya dengan memetik Pejabat Hak Asasi Manusia PBB.

ALIRAN BANTUAN MASIH RENDAH

Dalam pertemuan dengan pegawai Turkiye dan Qatar, Hamas berkata, Israel tidak mematuhi perjanjian gencatan senjata, dengan merujuk keengganannya membuka lintasan sempadan Rafah.

Dalam kenyataan pada Selasa, kumpulan pejuang itu menegaskan penutupan lintasan Rafah bagi perjalanan pesakit dan mangsa cedera, serta sekatan kemasukan bantuan kemanusiaan ke Gaza merupakan pelanggaran terhadap gencatan senjata.

Walaupun berlaku pelanggaran oleh rejim Israel, Hamas menegaskan pihaknya masih komited terhadap perjanjian damai tersebut.

PBB memberi amaran gencatan senjata di Gaza mesti dikekalkan untuk mengelakkan penduduknya daripada kebuluran.

Ia turut menggesa Israel supaya membuka semua lintasan sempadan sepenuhnya agar bantuan makanan dapat masuk ke wilayah yang masih dikepung itu.

Gencatan senjata yang ditaja Amerika Syarikat (AS) bermula pada 10 Oktober lalu, namun pasukan Israel melancarkan siri serangan maut ke atas Gaza dengan mendakwa berlaku pelanggaran daripada pihak pejuang Palestin.

“Memelihara gencatan senjata amat penting, ini satu-satunya cara untuk menyelamatkan nyawa dan mengekang kebuluran di utara Gaza.

“Kami tahun gencatan senjata ini rapuh, perkara paling penting ialah ia dapat dikekalkan,” katanya jurucakap Program Makanan Sedunia (WFP) bagi rantau Asia Barat, Abeer Atefa.

Etefa mengesahkan sebanyak 530 lori WFP memasuki Gaza sejak gencatan senjata bermula, membawa lebih 6,700 tan makanan, cukup untuk memberi makan hampir setengah juta orang selama dua minggu.

Namun, beliau memberi amaran aliran semasa sekitar 750 tan sehari masih jauh lebih rendah daripada 2,000 tan yang diperlukan setiap hari untuk mengelakkan kebuluran.

“Konvoi bantuan sedang bergerak, makanan sampai ke gudang dan pengagihan dilakukan dengan teratur serta bermaruah,” katanya.

Etefa menegaskan kemajuan itu berisiko musnah sekiranya Israel menyambung sekatan atau serangan ke atas Gaza.- AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN