BEIJING: China menuduh Agensi Keselamatan Negara (NSA) Amerika Syarikat (AS) melancarkan serangan siber terhadap Pusat Perkhidmatan Masa Negara miliknya, selepas satu siasatan mendapati serangan itu berpotensi menjejaskan sistem komunikasi, kewangan dan bekalan tenaga negara itu.
Dalam kenyataan yang disiarkan di akaun rasmi WeChat pada Ahad, Kementerian Keselamatan Negara China (MSS) mendakwa agensi risikan AS itu mengeksploitasi kelemahan dalam sistem pesanan sebuah jenama telefon bimbit asing bagi mencuri maklumat sensitif daripada peranti kakitangan pusat tersebut pada tahun 2022. Jenama telefon itu tidak dinyatakan.
Menurut MSS, NSA turut menggunakan 42 jenis senjata siber khas untuk menyerang beberapa rangkaian dalaman pusat tersebut, termasuk cubaan menceroboh sistem penyelarasan masa utama antara tahun 2023 hingga 2024.
“Serangan itu berpotensi mengganggu komunikasi rangkaian, sistem kewangan serta bekalan tenaga negara,” kata kenyataan itu, sambil menambah bahawa China kini telah mengambil langkah keselamatan tambahan bagi menghapuskan risiko pencerobohan lanjut.
Kementerian itu mendakwa memiliki bukti kukuh berhubung serangan tersebut, namun tidak mendedahkan sebarang butiran atau dokumen sokongan dalam hantaran berkenaan.
Pusat Perkhidmatan Masa Negara China bertanggungjawab menjana dan mengedarkan masa piawai negara, selain menyediakan perkhidmatan penyelarasan masa untuk sektor komunikasi, kewangan, tenaga, pengangkutan dan pertahanan.
Kenyataan itu juga menuduh Washington bersikap hipokrit, dengan menyatakan bahawa AS sering menuduh negara lain terlibat dalam ancaman siber, sedangkan ia sendiri melakukan perkara tersebut.
Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, negara-negara Barat telah menuduh penggodam yang dikaitkan dengan kerajaan China mensasarkan pegawai kerajaan, wartawan dan syarikat antarabangsa.
Penganalisis berpendapat, tuduhan terbaru ini berpotensi meningkatkan lagi ketegangan antara Washington dan Beijing, yang sedia ada tegang akibat isu perdagangan, teknologi dan Taiwan.
Kedutaan AS di Beijing setakat ini belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung dakwaan tersebut. -AGENSI










