Biden jalani terapi radiasi bagi rawatan kanser prostat agresif

Biden jalani terapi radiasi bagi rawatan kanser prostat agresif

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden kini sedang menjalani terapi radiasi dan rawatan hormon sebagai sebahagian daripada pelan rawatan untuk kanser prostat agresif yang dihidapinya, menurut jurucakap beliau kepada CNN.

“Sebagai sebahagian daripada pelan rawatan untuk kanser prostat, Biden kini sedang menjalani terapi radiasi dan rawatan hormon,” kata jurucakap itu dalam kenyataan.

Laporan pertama mengenai rawatan tersebut disiarkan oleh NBC News, manakala sumber kepada CNN memaklumkan Biden memulakan rawatan tersebut beberapa minggu lalu.

Bekas presiden berusia 82 tahun itu mendedahkan pada Mei lalu beliau disahkan menghidap bentuk kanser prostat yang agresif yang sudah merebak ke tulang.

“Harapan saya akan mampu melawannya. Ia tidak merebak ke organ lain, tulang saya masih kuat dan ia belum ditembusi. Jadi saya rasa baik,” kata Biden dalam temubual bersama CNN dua minggu selepas menerima diagnosis tersebut.

Biden juga memaklumkan beliau sudah memulakan pengambilan ubat oral sebagai sebahagian daripada rawatannya.

Menurut Pakar Urologi dan Bedah Robotik Orlando Health, Dr. Jamin Brahmbhatt yang tidak terlibat dalam rawatan Biden, kanser prostat adalah sangat biasa terutama apabila usia meningkat, kebanyakan lelaki akan mempunyai sedikit sel kanser dalam tubuh.

Kanser prostat dinilai berdasarkan skor Gleason, yang menentukan tahap agresif kanser melalui pemerhatian sel di bawah mikroskop.

Pada Mei lalu, pejabat Biden memaklumkan beliau mempunyai skor Gleason 9, iaitu bentuk kanser prostat paling agresif.

Profesor Onkologi Urologi University of Pittsburgh Medical Center, Dr. Benjamin Davies berkata, selain skor Gleason, faktor lain seperti paras antigen spesifik prostat (PSA) dalam darah, ujian pengimejan dan hasil biopsi turut diambil kira untuk menentukan tahap kanser dan rawatan paling sesuai.

“Walaupun pesakit menghidap kanser prostat berisiko tinggi, mereka masih boleh menjalani kehidupan normal dan berkualiti selagi ia dirawat,” jelas Dr. Brahmbhatt, sambil menambah rawatan tersebut bergantung pada individu dan boleh merangkumi terapi hormon, kemoterapi atau radiasi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×