Bekas Presiden Syria jalani kehidupan mewah di Moscow

Bekas Presiden Syria jalani kehidupan mewah di Moscow

BASHAR al-Assad bersama isteri dan tiga anaknya kini menjalani kehidupan di Moscow, Russia. – AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MOSCOW: Bekas diktator Syria, Bashar al-Assad yang kini hidup dalam buangan di Russia, menjalani kehidupan serba mewah di sebuah menara pencakar langit di Moscow, dengan beliau menghabiskan hari-harinya bermain permainan video dan berehat di vila luar bandar.

Menurut laporan media antarabangsa, Assad yang digelar ‘Penyembelih Rakyatnya Sendiri’ kerana kekejamannya sepanjang 24 tahun pemerintahan kini menetap di tiga unit apartmen mewah dalam kompleks Moscow City, kawasan perniagaan elit di tengah-tengah ibu negara Russia.

Apartmen tersebut digambarkan dihiasi dengan perabot berwarna krim bertatahkan emas, lampu kristal, serta sofa besar bergaya Asia Barat.

Keluarga Assad memiliki kira-kira 20 unit apartmen bernilai lebih 30 juta pound (RM169 juta) yang terletak di tiga tingkat bangunan berkenaan. Kompleks itu turut bersambung dengan pusat beli-belah mewah.

Bekas presiden berusia 60 tahun itu melarikan diri ke Russia selepas serangan kumpulan Hayat Tahrir al-Sham pada Disember lalu menamatkan 13 tahun perang saudara dan enam dekad pemerintahan keluarga Assad di Syria.

Pada Isnin, Kremlin terpaksa menafikan dakwaan Assad diracun dalam cubaan pembunuhan selepas khabar angin mengenainya tersebar di media sosial.

Kini, Assad tinggal bersama isterinya Asma al-Assad, yang berasal dari London serta tiga anak mereka, Hafez, 24 tahu), Zein (22), dan Karim (21).

Asma, yang pernah menjadi simbol glamor di Damsyik, sebelum ini dikritik kerana berbelanja besar untuk pakaian dan hiasan rumah semasa suaminya mentadbir.

Walaupun tidak lagi berkuasa di tanah air sendiri, laporan media menggambarkan Assad masih menikmati keselesaan luar biasa, jauh daripada penderitaan berjuta-juta rakyat Syria yang menjadi pelarian akibat konflik yang pernah beliau cipta sendiri. –AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN