WASHINGTON: Pentadbiran Presiden Donald Trump mengumumkan Amerika Syarikat (AS) akan mengehadkan kemasukan pelarian kepada hanya 7,500 orang pada tahun hadapan dan majoriti tempat itu diberikan kepada warga Afrika Selatan berkulit putih.
Langkah itu menandakan penurunan mendadak berbanding had 125,000 pelarian yang ditetapkan pada tahun lalu di bawah pentadbiran bekas Presiden, Joe Biden.
Pengumuman tersebut dibuat melalui notis rasmi di Daftar Persekutuan pada Khamis tanpa memberikan alasan terperinci mengenai penurunan besar itu. Dokumen kerajaan hanya menyatakan bahawa kemasukan 7,500 pelarian pada tahun fiskal 2026 adalah dibenarkan atas dasar kemanusiaan atau demi kepentingan nasional.
Sebelum ini, laporan Associated Press mendedahkan pentadbiran Trump sedang mempertimbangkan untuk menerima sejumlah kecil pelarian dengan keutamaan diberikan kepada komuniti Afrikaner dari Afrika Selatan. Langkah itu mendapat kecaman segera daripada pelbagai pertubuhan hak pelarian dan kemanusiaan.
Dalam kenyataan rasmi, Projek Bantuan Pelarian Antarabangsa (IRAP) menyifatkan keputusan itu sebagai bukti bahawa pentadbiran Trump meletakkan kepentingan politik melebihi perlindungan kemanusiaan.
“Dengan memberi keistimewaan kepada warga Afrika Selatan berkulit putih sambil terus menolak ribuan pelarian lain yang telah lulus pemeriksaan keselamatan, kerajaan sekali lagi mempolitikkan program kemanusiaan ini,” kata IRAP.
Ketua Pegawai Eksekutif Global Refuge, Krish O’Mara Vignarajah turut mempersoalkan etika di sebalik keputusan tersebut.
“Keputusan ini bukan sahaja menurunkan had kemasukan pelarian, tetapi juga merendahkan martabat moral negara. Selama lebih 40 tahun, program pelarian AS menjadi talian hayat bagi keluarga yang melarikan diri daripada peperangan dan penindasan.
“Memberi tumpuan kepada satu kumpulan sahaja pada saat dunia berdepan krisis dari Afghanistan hingga Sudan menjejaskan tujuan dan kredibiliti program ini,” katanya.
Sementara itu, felo kanan di Majlis Imigresen Amerika, Aaron Reichlin-Melnick, menulis di platform X bahawa langkah ini menandakan kemerosotan serius dalam sejarah dasar kemanusiaan AS.
“Sejak program pelarian AS diwujudkan pada 1980, lebih dua juta pelarian telah diterima. Kini ia akan digunakan sebagai laluan imigresen untuk golongan berkulit putih. Ia satu kejatuhan besar bagi program kemanusiaan yang pernah menjadi kebanggaan AS,” tulisnya. -AGENSI

 
								 
											









