LONDON: Pelan bercita-cita tinggi oleh agensi pelayaran Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk mengurangkan pelepasan karbon sektor maritim mungkin tergugat pada saat akhir selepas Amerika Syarikat (AS) mengugut untuk mengenakan sekatan terhadap pihak yang menyokongnya.
Pelan yang diluluskan pada April lalu dijangka diterima pakai secara rasmi oleh ahli-ahli Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO) yang berpangkalan di London pada Jumaat ini, sebagai sebahagian daripada rundingan yang bermula pada Selasa.
Rangka Kerja Sifar Bersih (NZF) tersebut mengkehendaki kapal-kapal mengurangkan pelepasan karbon mereka secara berperingkat bermula tahun 2028 dan mencapai penyahkarbonan sepenuhnya menjelang 2050.
Namun, pada Jumaat lalu, AS mengancam akan mengenakan sekatan dan tindakan punitif lain terhadap negara yang menyokong rangka kerja itu, langkah yang berpotensi menggagalkan pelan berkenaan.
Diplomat tertinggi AS, Marco Rubio; Setiausaha Tenaga. Chris Wright dan Setiausaha Pengangkutan, Sean Duffy dalam satu kenyataan berkata, pentadbiran Presiden, Donald Trump menolak secara mutlak cadangan NZF tersebut.
Mereka mengugut akan mengambil pelbagai tindakan terhadap negara yang mengundi menyokong pelan itu, termasuk sekatan visa, larangan kapal berdaftar di negara berkenaan daripada berlabuh di pelabuhan AS serta hukuman perdagangan.
Pengaruh AS
Rangka kerja NZF menghendaki semua kapal menggunakan campuran bahan api rendah karbon atau berdepan penalti kewangan.
Pada April lalu, majoriti 63 negara ahli mengundi menyokong langkah itu, termasuk Kesatuan Eropah (EU), Brazil, China, India dan Jepun.
Sebanyak 16 negara menentangnya, termasuk pengeluar minyak utama seperti Arab Saudi, Russia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Negara-negara Kepulauan Pasifik memilih untuk berkecuali, dengan alasan cadangan tersebut masih belum cukup kuat untuk mencapai matlamat penyahkarbonan.
AS menarik diri daripada rundingan itu dan tidak mengulas lanjut sehingga minggu lalu.
Brussels pada Isnin menegaskan semula sokongan penuh negara anggota EU terhadap cadangan tersebut, begitu juga dengan Britain, menurut kenyataan kepada AFP.
Namun, menurut sumber, ancaman AS mungkin menjejaskan negara-negara yang lebih terdedah kepada pengaruh dan tindakan balas Washington.
“Kami kekal optimistik terhadap keputusan akhir, tetapi ia mungkin lebih sengit kali ini dengan risiko lebih tinggi negara memilih untuk berkecuali,” kata satu sumber Eropah kepada AFP.
Konsensus, yang biasanya menjadi kebiasaan dalam perhimpunan ini, sudah diketepikan.
Filipina yang mempunyai tenaga kerja maritim terbesar di dunia dan menyokong NZF pada April lalu dijangka paling terjejas akibat sekatan visa.
Negara-negara Kepulauan Caribbean, yang ekonominya bergantung pada pelancongan kapal persiaran AS, juga mungkin menjadi mangsa sekatan.
Dakwaan ‘scam iklim’ Trump
Apabila dihubungi AFP, Setiausaha Agung IMO, Arsenio Dominguez enggan mengulas secara langsung mengenai kenyataan AS, sebaliknya menegaskan beliau amat yakin terhadap undian NZF itu.
Rangka kerja NZF akan mengenakan cukai ke atas pelepasan karbon yang melebihi paras tertentu, bagi mewujudkan tabung untuk memberi ganjaran kepada kapal rendah karbon serta membantu negara yang terdedah kepada perubahan iklim.
Jika sistem harga global pelepasan ini diterima pakai, ia akan sukar dielakkan termasuk bagi AS.
Konvensyen IMO membenarkan negara penandatangan memeriksa kapal asing ketika berlabuh dan menahan kapal yang tidak mematuhi piawaian.
Sejak kembali berkuasa pada Januari lalu, Trump memansuhkan dasar iklim Washington, menolak isu perubahan iklim sebagai penipuan serta menggalakkan penggunaan bahan api fosil melalui langkah pelonggaran peraturan.-AFP