Arab Saudi, Qatar gesa Pakistan dan Afghanistan bertenang selepas pertempuran sempadan - Utusan Malaysia

Arab Saudi, Qatar gesa Pakistan dan Afghanistan bertenang selepas pertempuran sempadan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISLAMABAD: Arab Saudi dan Qatar semalam menyuarakan kebimbangan terhadap pertempuran di sempadan antara Pakistan dan Afghanistan, serta menggesa kedua-dua negara tersebut menahan diri dan kembali ke meja rundingan bagi meredakan ketegangan yang semakin memuncak.

Menurut laporan, pasukan keselamatan Afghanistan telah menyerang beberapa pos kawalan sempadan Pakistan lewat Sabtu lalu, sebagai tindak balas terhadap apa yang didakwa kerajaan Taliban sebagai pelanggaran berulang terhadap wilayah dan ruang udaranya.

Awal minggu ini, pihak berkuasa Afghanistan turut menuduh Pakistan melancarkan serangan udara di Kabul dan di sebuah pasar di timur negara itu namun, Islamabad setakat ini tidak mengesahkan mahupun menafikan dakwaan tersebut.

Lintasan sempadan Torkham, salah satu daripada dua laluan perdagangan utama antara kedua-dua negara tidak dibuka seperti biasa pada pukul 8 pagi Ahad waktu tempatan, susulan insiden berbalas tembakan yang menggambarkan hubungan keselamatan yang semakin tegang.

“Kerajaan Arab Saudi mengikuti dengan penuh kebimbangan ketegangan dan pertempuran yang berlaku di kawasan sempadan antara Republik Islam Pakistan dan Negara Afghanistan.” Ujar Kementerian Luar Arab Saudi dalam satu kenyataan di platform X.

Sementara itu, Kementerian Luar Qatar turut menyuarakan kebimbangan terhadap peningkatan konflik tersebut yang berpotensi menjejaskan keselamatan dan kestabilan rantau Asia Selatan serta turut menggesa kedua-dua negara agar mengutamakan dialog, diplomasi dan sikap berhemah.

Pakistan sebelum ini menuduh pihak berkuasa Afghanistan melindungi anggota kumpulan militan Tehreek-e-Taliban Pakistan (TTP) yang diharamkan, dan mendakwa kumpulan itu bertanggungjawab melancarkan serangan berdarah di dalam wilayah Pakistan.

Kabul bagaimanapun menafikan tuduhan tersebut serta menegaskan tidak membenarkan wilayahnya digunakan untuk menyerang mana-mana negara.

TTP yang mempunyai hubungan rapat dengan Taliban Afghanistan dikatakan menjadi dalang di sebalik beberapa serangan paling berdarah di Pakistan sejak akhir 2000-an.

Pada Sabtu lalu, kumpulan itu mengaku bertanggungjawab terhadap beberapa siri serangan di wilayah barat laut Pakistan yang mengorbankan 20 anggota keselamatan dan tiga orang awam sepanjang minggu ini.

Menteri Dalam Negeri Pakistan, Mohsin Naqvi, dalam kenyataannya berkata tindakan melepaskan tembakan terhadap penduduk awam oleh pasukan Afghanistan merupakan pelanggaran terang-terangan terhadap undang-undang antarabangsa. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN