Afghanistan, Pakistan laksana gencatan senjata serta-merta - Utusan Malaysia

Afghanistan, Pakistan laksana gencatan senjata serta-merta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISLAMABAD: Afghanistan dan Pakistan bersetuju melaksanakan gencatan senjata serta-merta, menurut kenyataan Kementerian Luar Qatar pada Ahad.

Persetujuan itu dicapai selepas lebih seminggu pertempuran sengit di sempadan yang mengorbankan puluhan nyawa dan mencederakan ratusan yang lain.

Menurut kenyataan rasmi Qatar, kedua-dua negara juga bersetuju untuk mewujudkan mekanisme bagi mengekalkan keamanan dan kestabilan jangka panjang, serta mengadakan rundingan susulan dalam beberapa hari akan datang bagi memastikan gencatan senjata itu kekal berkuat kuasa.

Delegasi dari Afghanistan dan Pakistan berada di Doha bagi menghadiri rundingan damai yang diatur untuk menyelesaikan krisis paling berdarah antara kedua-dua negara dalam beberapa tahun kebelakangan ini. Perbincangan itu dimediasi oleh Qatar dan Turkiye.

Kedua-dua kerajaan menghantar menteri pertahanan masing-masing untuk mengetuai rundingan tersebut. Pihak Pakistan memaklumkan bahawa perbincangan akan menumpukan kepada langkah segera untuk menamatkan serangan rentas sempadan yang berpunca dari Afghanistan serta memulihkan keamanan dan kestabilan di kawasan sempadan.

Setiap pihak sebelum ini saling menuduh satu sama lain sebagai punca kepada ketegangan. Afghanistan menafikan dakwaan bahawa negaranya menjadi tempat perlindungan militan yang melakukan serangan di kawasan sempadan.

Kuasa-kuasa serantau termasuk Arab Saudi dan Qatar telah menyeru semua pihak agar bertenang, berikutan kebimbangan bahawa keganasan ini boleh menggugat kestabilan wilayah ketika kumpulan seperti Daesh dan Al-Qaeda dilaporkan sedang cuba kembali aktif.

Sebelum ini, satu gencatan senjata selama 48 jam bagi menghentikan sementara pertempuran telah tamat pada petang Jumaat. Beberapa jam kemudian, tentera Pakistan melancarkan serangan udara ke atas wilayah sempadan Afghanistan.

Pegawai keselamatan Pakistan mengesahkan kepada Associated Press bahawa dua daerah di wilayah Paktika, Afghanistan Timur menjadi sasaran serangan yang menurut mereka merupakan tempat persembunyian kumpulan militan Hafiz Gul Bahadur.

Seorang pegawai berkata operasi itu adalah tindakan balas terus terhadap serangan bom bunuh diri di sebuah kompleks pasukan keselamatan di Mir Ali, wilayah Khyber Pakhtunkhwa, sehari sebelumnya.

Menurut pihak Pakistan, serangan udara itu berjaya membunuh puluhan militan bersenjata tanpa melibatkan kematian orang awam.

Namun, pegawai Afghanistan mendakwa serangan tersebut mengorbankan sekurang-kurangnya 10 orang awam, termasuk wanita, kanak-kanak dan beberapa pemain kriket tempatan. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN