48 beg berisi sisa mayat ditemukan di Mexico - Utusan Malaysia

48 beg berisi sisa mayat ditemukan di Mexico

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUADALAJARA: Pihak berkuasa Mexico menemukan sebanyak 48 beg berisi sisa mayat manusia di sebuah kubur rahsia berhampiran bandar Guadalajara, ibu negeri Jalisco, yang terkenal sebagai kawasan operasi satu daripada kartel dadah paling berbahaya di negara itu.

Menurut Pejabat Pendakwa Negeri Jalisco, penemuan mengerikan itu dilakukan empat minggu lalu oleh sekumpulan pencari mangsa hilang di kawasan tanah kosong di Zapopan, sebuah daerah besar di pinggir metropolitan Guadalajara.

Jurucakap pejabat pendakwa, Blanca Trujillo, berkata pasukan forensik masih berusaha mengenal pasti bilangan sebenar mangsa yang terlibat kerana sisa mayat yang ditemui berada dalam keadaan teruk dan bercampur-campur.

“Kita perlu membuat analisis forensik bagi menentukan berapa ramai mangsa yang diwakili oleh 48 beg ini,” katanya dalam sidang media.

Pihak berkuasa turut memaklumkan operasi mencari masih diteruskan bagi mengesan kemungkinan terdapat lebih banyak sisa mayat di kawasan sama.

Usaha itu dijalankan dengan bantuan kumpulan aktivis Guerreros Buscadores dan Suruhanjaya Kebangsaan Pencarian Orang Hilang.

Penemuan kubur besar ini menambah kepada puluhan kes serupa di negeri Jalisco, yang menjadi pusat kepada krisis kehilangan orang di Mexico. Sehingga kini, lebih 127,000 individu dilaporkan hilang di seluruh negara, kebanyakannya sejak kerajaan melancarkan operasi ketenteraan menentang kartel dadah pada Disember 2006.

Hanya pada bulan Jun lalu, pakar forensik menemui sisa 34 individu yang ditanam berhampiran kawasan perumahan di Zapopan.

Menurut rekod rasmi, Jalisco mempunyai lebih 15,900 kes orang hilang iaitu jumlah tertinggi di Mexico.

Pakar percaya kebanyakan kes berkait rapat dengan kegiatan Jalisco New Generation Cartel (CJNG), kumpulan jenayah terancang yang terkenal dengan kekejaman dan pengedaran dadah sintetik fentanyl ke Amerika Syarikat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN