MEXICO CITY: Hujan lebat berterusan akibat dua ribut tropika menyebabkan banjir besar di bahagian tengah dan tenggara Mexico yang sekurang-kurangnya 44 nyawa dalam tempoh kurang seminggu.
Menurut kenyataan kerajaan pada Ahad, hujan lebat itu mencetuskan kejadian tanah runtuh dan limpahan air sungai di lima negeri termasuk Veracruz, Puebla, Hidalgo, Queretaro dan San Luis Potosi.
Setakat ini, 18 orang dilaporkan maut di Veracruz, 16 di Hidalgo, sembilan di Puebla, dan seorang di Queretaro, menurut kenyataan tersebut.
Bagaimanapun, akhbar tempatan El Universal melaporkan angka korban lebih tinggi iaitu 48 orang, selain memaklumkan puluhan lagi masih hilang.
Lebih 320,000 penduduk mengalami gangguan bekalan elektrik manakala sekitar 16,000 kediaman rosak.
Pihak berkuasa bimbang keadaan bertambah buruk sekiranya berlaku lagi tanah runtuh dan sungai melimpah.
Presiden Mexico, Claudia Sheinbaum berkata, anggota tentera telah digerakkan bagi membantu operasi menyelamat dan pengagihan bantuan kepada mangsa.
“Kami tidak akan meninggalkan sesiapa tanpa bantuan,” katanya menerusi hantaran di platform X.
Foto yang dikongsikan oleh pihak tentera menunjukkan penduduk dipindahkan menggunakan bot getah, manakala rumah-rumah ditenggelami lumpur dan petugas penyelamat meredah air separas pinggang untuk menyelamatkan mangsa.
Mexico mengalami musim hujan luar biasa tahun ini, dengan Bandar Raya Mexico mencatatkan hujan paling lebat bagi bulan Jun dalam tempoh lebih dua dekad.
Pihak berkuasa berkata, bencana terbaharu berpunca daripada sisa Ribut Taufan Priscilla dan Hujan Tropika Raymond, yang menyebabkan hujan berterusan di bahagian barat negara itu.
Sisa Ribut Raymond yang kini mencatatkan kelajuan angin 45 kilometer sejam dijangka melanda selatan Semenanjung Baja California pada Ahad. -AGENSI