LONDON: Lebih 200 tokoh budaya terkemuka antarabangsa menggesa pembebasan pemimpin Palestin yang dipenjarakan, Marwan Barghouti, menerusi sepucuk surat terbuka yang menyifatkan beliau sebagai satu-satunya figura mampu menyatukan kepimpinan Palestin dan menghidupkan kembali usaha penubuhan negara Palestin.
Surat berkenaan ditandatangani oleh barisan nama besar dunia seni dan budaya, antaranya penulis terkenal Margaret Atwood, Philip Pullman, Zadie Smith dan Annie Ernaux; pelakon Sir Ian McKellen, Benedict Cumberbatch, Tilda Swinton, Josh O’Connor dan Mark Ruffalo; serta bekas pemain bola sepak dan penyiar Britain, Gary Lineker. Turut serta ialah pemuzik Sting, Paul Simon, Brian Eno dan Annie Lennox serta tokoh seperti Ai Weiwei dan ahli perniagaan Sir Richard Branson.
Barghouti, 66, menghabiskan 23 tahun dalam penjara selepas perbicaraan yang pakar undang-undang dakwa sebagai cacat dan tidak memenuhi piawaian keadilan.
Meskipun ditahan sejak 2002, beliau masih kekal sebagai pemimpin Palestin paling popular dan sering menduduki tempat teratas dalam tinjauan sebagai calon pilihan rakyat untuk mengetuai perjuangan Palestin.
Israel sebelum ini enggan membebaskannya, termasuk dalam pertukaran tahanan selepas gencatan senjata Oktober, bukan atas alasan keselamatan tetapi kerana kebimbangan terhadap pengaruh politik Barghouti yang berpotensi menyatukan rakyat Palestin dan menguatkan momentum ke arah penyelesaian dua negara.
Terdapat juga kebimbangan Israel sedang mempertimbangkan undang-undang hukuman mati untuk tahanan Palestin, yang turut boleh dikenakan terhadap Barghouti.
Kempen pembebasan itu turut digambarkan sebagai usaha yang mencerminkan gerakan global yang pernah menuntut pembebasan Nelson Mandela.
Brian Eno dalam kenyataannya berkata suara budaya mampu mengubah landskap politik dan pembebasan Barghouti akan menjadi titik perubahan penting dalam perjuangan panjang Palestin.
Penulis British-Palestin, Selma Dabbagh pula menegaskan perbicaraan Barghouti telah lama disahkan tidak sah oleh badan antarabangsa termasuk Kesatuan Antara-Parlimen (IPU).
Surat penuh yang diedarkan itu menyatakan kebimbangan mengenai keadaan Barghouti di penjara dan menyeru PBB serta kerajaan dunia mendesak pembebasannya.
Namun, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dijangka hanya mempertimbangkan langkah itu jika menerima tekanan kuat dari Amerika Syarikat.
Presiden Donald Trump pula dilaporkan bakal menjemput Netanyahu ke Rumah Putih dalam masa terdekat, yang akan menjadi lawatan kelima beliau sejak Trump kembali memegang jawatan tersebut.











