WASHINGTON: Seramai 16 orang terbunuh dalam satu insiden letupan besar di sebuah kilang bahan letupan di Tennessee, menurut pihak berkuasa.
Letupan yang berlaku di bandar kecil Bucksnort itu melibatkan kilang milik syarikat Accurate Energetic Systems, yang menghasilkan bahan letupan untuk kegunaan ketenteraan dan kerja-kerja perobohan.
Lapor media tempatan, letupan berkenaan memusnahkan seluruh bangunan di kawasan kilang tersebut, menggegarkan rumah-rumah sejauh beberapa kilometer dan menyebabkan serpihan bertaburan.
Pada mulanya, pihak berkuasa melaporkan 18 mangsa disyaki maut, namun Syerif Daerah Humphreys, Chris Davis berkata, dua individu yang disangka antara mangsa didapati tidak berada di lokasi kejadian.
“Kenderaan dan barangan peribadi mereka ditemui di kawasan kilang, yang membawa kepada tanggapan awal mereka antara mangsa,” katanya.
Dalam satu kenyataan, syarikat Accurate Energetic Systems menyifatkan insiden itu sebagai kemalangan tragik.
Namun, pegawai Biro Alkohol, Tembakau, Senjata Api dan Bahan Letupan (ATF), Brice McCracken berkata, pada Sabtu malam pihak berkuasa masih belum dapat menentukan punca atau lokasi sebenar letupan itu bermula.
“Bolehkah kita menolak kemungkinan perbuatan khianat? Belum lagi. Ia mungkin mengambil masa beberapa hari, minggu atau bulan sebelum kita dapat memastikannya,” kata Davis.
Beliau berkata, pasukan penyiasat sedang memeriksa lokasi letupan secara berhati-hati, setiap langkah satu kaki pada satu masa, dengan bantuan pakar bahan letupan apabila timbul risiko bahaya.
Ujian DNA akan dijalankan bagi mengenal pasti mangsa yang terlibat.-AFP










