Trump mahu hapuskan pemikiran bebas di universiti AS

Trump mahu hapuskan pemikiran bebas di universiti AS

PENUNJUK perasaan berkumpul di luar Mahkamah John Joseph Moakley Amerika Syarikat (AS) di Boston, Massachusetts, pada 21 Julai lalu. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

AMSTERDAM: Bekas Presiden Universiti Harvard, Claudine Gay, menuduh pentadbiran Donald Trump menyerang institusi pengajian tinggi di Amerika Syarikat (AS) dalam usaha mengekang pemikiran bebas.

Bercakap di Institut Kajian Lanjutan Belanda dalam Kemanusiaan dan Sains Sosial, Gay berkata, kerajaan AS kini berusaha ‘memusnahkan institusi ilmu kerana ia merupakan pusat pemikiran dan maklumat bebas’.

“Kebenarannya di sini ialah kerajaan kita, kerajaan Amerika, sedang menyerang pendidikan tinggi dan universiti.

“Agendanya adalah untuk memusnahkan institusi ilmu kerana ia merupakan pusat pemikiran dan maklumat bebas,” katanya.

Pertelagahan antara Harvard dan Trump semakin memuncak apabila Presiden AS itu menuduh sekilah Ivy League sebagai tidak bertanggungjawab serta menjadi kubu liberal, anti konservatif dan anti-Semitisme, khususnya dalam proses menentang kempen Israel di Gaza.

Trump dilaporkan mahu memotong lebih AS$2.6 bilion (RM10.9 bilion) pembiayaan kepada Harvard serta menyekat kemasukan pelajar antarabangsa, yang kini merangkumi kira-kira suku daripada jumlah keseluruhan pelajarnya.

“Tiada apa yang boleh menjelaskannya selain daripada hakikat golongan autoritarian tidak menyukai pusat pemikiran dan maklumat yang bebas,” kata Gay dalam kenyataan awam yang jarang dibuatnya.

Gay, wanita kulit hitam pertama yang mengetuai Harvard dalam sejarah 368 tahun universiti itu, meletak jawatan pada Januari 2024 susulan pertikaian mengenai dakwaan anti-Semitisme di kampus selepas protes berhubung perang Gaza.

Peletakan jawatan itu berlaku selepas penampilannya yang tegang dalam satu sesi pendengaran di Capitol Hill.

Sesi pendengaran itu mencetuskan reaksi hebat apabila Ahli Kongres Republikan, Elise Stefanik, menyamakan laungan pelajar yang menyeru intifada baharu, merujuk kebangkitan Palestin pertama menentang Israel pada 1987, sebagai hasutan kepada pembunuhan beramai-ramai terhadap orang Yahudi.

Ketika ditanya sama ada ia melanggar kod etika Harvard, Gay menegaskan universiti komited kepada kebebasan bersuara, termasuk pandangan yang menyinggung atau penuh kebencian, tetapi akan bertindak jika ucapan berubah menjadi perbuatan seperti pembulian atau gangguan.– AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN