LONDON: Agensi kesihatan antarabangsa menolak dakwaan tidak berasas Presiden Amerika Syarikat AS) Donald Trump yang mengaitkan penggunaan ubat tahan sakit harian dan vaksin dengan autisme.
Dalam kenyataannya awal minggu ini, Trump menasihatkan wanita hamil supaya mengelakkan pengambilan acetaminophen atau dikenali secara meluas sebagai paracetamol serta mencadangkan ibu bapa menangguhkan pemberian vaksin kepada anak kecil.
“Jangan biarkan mereka menyuntik bayi anda dengan begitu banyak benda,” katanya, merujuk kepada jadual imunisasi kanak-kanak.
Kenyataan itu menimbulkan kebimbangan serius di peringkat antarabangsa kerana ia berpotensi menjejaskan keyakinan awam terhadap rawatan perubatan dan vaksin, yang terbukti menyelamatkan jutaan nyawa setiap tahun.
Jurucakap Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Tarik Jašarević menegaskan vaksin tidak menyebabkan autisme dan penyelidikan yang cuba mengaitkan paracetamol semasa kehamilan dengan autisme masih tidak konsisten.
“Vaksin menyelamatkan nyawa. Sains telah membuktikan perkara ini dan ia tidak sepatutnya dipertikaikan,” katanya.
Sementara itu, Setiausaha Kesihatan United Kingdom (UK), Wes Streeting, menggesa rakyat Britain supaya tidak memberi sebarang perhatian kepada kenyataan Trump mengenai ubat-ubatan.
“Saya mempercayai doktor lebih daripadaTrump. Tidak ada bukti langsung yang mengaitkan penggunaan paracetamol ketika hamil dengan autisme,” katanya kepada ITV.
Streeting berkata, rakyat seharusnya merujuk kepada doktor, saintis dan Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan (NHS) Britain untuk maklumat tepat, bukannya ahli politik.
Beberapa jam selepas kenyataan Trump, Agensi Kawal Selia Produk Kesihatan dan Ubat-ubatan UK (MHRA) turut mengeluarkan penjelasan rasmi tiada bukti saintifik yang mengaitkan penggunaan paracetamol semasa kehamilan dengan autisme.
Ketua keselamatan MHRA, Dr Alison Cave mengingatkan kesakitan dan demam yang tidak dirawat boleh menjejaskan kesihatan bayi dalam kandungan. Oleh itu, rawatan yang disyorkan tetap penting bagi wanita hamil. – AGENSI










