NEW YORK: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump memberi jaminan kepada pemimpin Arab dan Islam beliau tidak akan membenarkan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, meneruskan rancangan untuk mengilhak Tebing Barat yang diduduki.
Menurut laporan portal Politico yang memetik enam sumber rapat, Trump menegaskan pendiriannya dalam pertemuan di ibu pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Selasa.
Dua daripada sumber itu menyatakan Trump tegas dalam menolak rancangan tersebut, manakala yang lain mendakwa pasukan beliau turut membentangkan dokumen dasar berhubung cadangan penyelesaian perang hampir dua tahun Israel di Gaza, termasuk isu pentadbiran dan keselamatan pascaperang.
Bagaimanapun, seorang lagi sumber berkata jaminan Trump itu tidak bermakna gencatan senjata akan tercapai dalam masa terdekat.
Rumah Putih setakat ini enggan mengulas laporan tersebut.
Trump menggambarkan sesi perbincangan bersama lapan negara Islam dan Arab itu sebagai mesyuarat paling penting beliau pada hari tersebut, sambil menegaskan matlamatnya adalah menamatkan konflik yang sepatutnya tidak pernah berlaku.
Antara yang hadir termasuk pemimpin dari Türkiye, Qatar, Arab Saudi, Indonesia, Pakistan, Mesir, Emiriah Arab Bersatu (UAE), dan Jordan.
Sejak 7 Oktober 2023, Israel melancarkan serangan besar-besaran ke atas Gaza selepas serangan rentas sempadan oleh Hamas.
Kementerian Kesihatan Palestin mengesahkan lebih 65,000 penduduk terbunuh, manakala seluruh wilayah itu kini berdepan kebuluran akibat serangan berterusan.
Di Tebing Barat pula, sekurang-kurangnya 1,042 rakyat Palestin terbunuh dan lebih 7,000 cedera akibat serangan tentera Israel dan puak pendatang Yahudi sejak tarikh yang sama.
Julai lalu, Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) mengisytiharkan pendudukan Israel di wilayah Palestin sebagai tidak sah di sisi undang-undang dan menggesa semua penempatan haram di Tebing Barat serta Baitulmaqdis Timur dikosongkan segera.
Namun, Israel tetap meluluskan lebih banyak pembinaan penempatan haram, yang menurut pengkritik bakal menghancurkan harapan untuk menubuhkan sebuah negara Palestin merdeka yang bersempadan kukuh.
Selain itu, serangan dan intimidasi terhadap rakyat Palestin di Tebing Barat oleh pendatang Yahudi haram dilaporkan semakin berleluasa, dengan pihak berkuasa Israel didakwa menutup mata terhadap keganasan tersebut. -AGENSI










