GAZA: Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mengeluarkan amaran keras kepada penduduk Gaza City supaya segera meninggalkan kawasan itu, hanya beberapa jam selepas Tel Aviv mengumumkan rancangan untuk meningkatkan serangan udara ke atas wilayah yang dilanda perang tersebut.
“Kepada penduduk Gaza, saya ingin katakan ambil peluang ini dan dengar dengan teliti, anda sudah diberi amaran. Tinggalkan sekarang!” tegas Netanyahu dalam satu kenyataan yang disiarkan media Israel.
Beliau turut mendedahkan pasukan tentera darat Israel kini dihimpunkan di sekitar bandar berkenaan bagi melancarkan ‘manuver darat’ berskala besar dalam masa terdekat.
Langkah ini dijangka menjadi fasa baharu dalam operasi ketenteraan Israel di Gaza, yang sebelum ini telah dikecam secara meluas oleh masyarakat antarabangsa termasuk PBB dan NGO kemanusiaan.
Israel mendakwa serangan terbarunya bertujuan untuk menawan sepenuhnya Gaza City, kubu kuat Hamas, dan memindahkan penduduk secara paksa ke wilayah selatan Gaza, satu tindakan yang dianggap oleh ramai sebagai pencabulan undang-undang antarabangsa.










