Tidak buat penampilan umum seminggu, Trump nafi ada masalah kesihatan - Utusan Malaysia

Tidak buat penampilan umum seminggu, Trump nafi ada masalah kesihatan

DONALD TRUMP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump semalam menafikan khabar angin yang tular dalam media sosial mengenai keadaan kesihatannya termasuk dakwaan kononnya beliau meninggal dunia, dengan menyifatkannya sebagai `berita palsu’.

Trump yang sebelum ini tidak muncul di khalayak umum selama hampir seminggu, menimbulkan persoalan mengenai tahap kesihatannya.

Ketiadaan itu ditambah pula dengan imej yang menunjukkan tangan kanannya lebam serta pergelangan kaki yang bengkak.

Spekulasi liar di platform X sehingga membawa kepada tanda pagar `#trumpdead’ mendakwa White House sedang menutup perkara sebenar.

“Benarkah? Saya tidak tahu tentang itu,” kata Trump sambil ketawa ketika ditanya secara berseloroh oleh wartawan pada sidang akhbar di White House.

Trump berkata, walaupun beberapa hari tidak mengadakan sidang media, beliau sebenarnya aktif termasuk bermain muzik di Rose Garden serta bermain golf pada cuti panjang sempena Hari Buruh di AS.

“Saya sangat aktif hujung minggu lalu,” katanya.

Namun, penampilan Trump menarik perhatian apabila tangan kanannya dilihat berbedak tebal, sebagaimana beberapa kali sebelum ini.

White House sebelum ini menjelaskan, perubahan warna pada tangan kanan Trump berpunca daripada `iritasi tisu akibat kerap bersalaman’ selain pengambilan aspirin sebagai rawatan kardiovaskular.

Bengkak pada kakinya pula disebabkan masalah chronic venous insufficiency, iaitu keadaan biasa melibatkan kerosakan urat yang menjejaskan pengaliran darah.

“Presiden kekal berada dalam keadaan sihat,” jelas doktor peribadi Trump, Sean Barbabella dalam laporan rasmi pada Julai lalu.

Trump, yang memulakan penggal kedua pada Januari, kerap mendakwa dirinya mempunyai tahap kesihatan serta tenaga luar biasa, malah pernah menyiarkan gambar dirinya digambarkan sebagai Superman.

Kesihatan presiden AS sememangnya sentiasa menjadi perhatian, khususnya selepas negara itu dipimpin oleh dua presiden tertua dalam sejarah sejak 2017. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN