RAMALLAH: Kesatuan Wartawan Palestin melaporkan 15 wartawan, termasuk tiga wanita, telah terbunuh sepanjang bulan Ogos 2025 akibat serangan berterusan tentera pendudukan Israel di wilayah Palestin.
Menurut laporan yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Kebebasan Kesatuan tersebut dan dipetik oleh Agensi Berita Palestin (WAFA), sebanyak 86 pelanggaran dan jenayah terhadap wartawan direkodkan di Tebing Barat dan Semenanjung Gaza sepanjang bulan lalu.
Antara mereka yang terkorban ialah Marwa Muslim, Mariam Abu Daqqa, dan Islam Abed.
Sembilan wartawan lain turut mengalami kecederaan serius, termasuk kes melibatkan pemotongan anggota badan dan kelumpuhan kekal.
Insiden paling tragik direkodkan pada 10 Ogos berhampiran Hospital Al-Shifa di Gaza, apabila enam wartawan terbunuh, diikuti dengan serangan pada 25 Ogos di Hospital Nasser, Khan Younis yang mengorbankan lima wartawan dan mencederakan empat lagi.
Sekurang-kurangnya enam wartawan mengalami kecederaan akibat serpihan dan tembakan peluru hidup, menjadikan sebahagian daripada mereka hilang upaya kekal.
Serangan juga turut memberi kesan kepada keluarga wartawan, dengan tiga saudara-mara terbunuh dan empat rumah mereka musnah dalam serangan udara.
Laporan itu turut merekodkan beberapa kes penahanan terhadap wartawan, antaranya Farah Abu Ayash, Muath Amarneh dan Asid Amarneh, di samping enam kes serangan fizikal secara langsung terhadap pasukan media.
Sebanyak 33 kes wartawan dihalang daripada membuat liputan juga dilaporkan, termasuk di kawasan Al-Mughayyir, Beit Dajan, Ramallah dan Nablus. Selain itu, tiga serangan oleh peneroka haram Israel terhadap wartawan turut dicatatkan, serta tiga insiden hasutan bunuh yang didakwa dilakukan oleh tokoh media Israel dan akaun media sosial rasmi Israel.
Kesatuan Wartawan Palestin menyifatkan pelanggaran ini sebagai sebahagian daripada kempen sistematik untuk membungkam suara media dan menghalang liputan bebas mengenai kekejaman yang berlaku di wilayah Palestin, terutamanya di Gaza yang terus menjadi sasaran utama operasi ketenteraan Israel.










