BANGKOK: Taikun pembinaan konservatif, Anutin Charnvirakul meraih majoriti undian Parlimen untuk dilantik sebagai perdana menteri baharu Thailand, sekali gus meredakan ketegangan politik di negara itu sejak beberapa bulan lalu.
Dengan sokongan tegas daripada pihak pembangkang, Anutin mudah melepasi ambang lebih separuh undi Dewan Rendah yang diperlukan untuk menjadi Perdana Menteri.
Anutin meraih 311 undi, memperoleh majoriti selesa daripada 492 ahli Dewan Rendah Parlimen, menurut keputusan rasmi muktamad.
Mengambil peluang dalam kekosongan kuasa selepas pemecatan bekas Perdana Menteri, Paetongtarn Shinawatra, Anutin berjaya membentuk gabungan bersama blok-blok pembangkang bagi menyingkirkan penguasaan Pheu Thai.
Ketua dinasti Shinawatra, Thaksin Shinawatra sudah meninggalkan Thailand beberapa jam sebelum undian berlangsung menuju ke Dubai untuk melawat rakan-rakan dan mendapatkan rawatan perubatan.
Anutin mengetuai Parti Bhumjaithai dan sebelum ini pernah memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri, menteri dalam negeri serta menteri kesihatan tetapi paling terkenal kerana pada 2022 menunaikan janji untuk menghalalkan ganja.
Semasa pandemik Covid-19, beliau mengetuai usaha kerajaan menangani krisis kesihatan itu, namun pernah dikecam selepas menuduh warga Barat menyebarkan virus tersebut sebelum akhirnya memohon maaf.
Pemilihan Anutin merupakan satu lagi tamparan hebat kepada keluarga Shinawatra, yang menjadi pemain utama politik Thailand selama dua dekad.
Gerakan populis mereka sekian lama bertembung dengan kumpulan protentera dan promonarki, namun semakin terjerat dengan pelbagai kes undang-undang dan halangan politik.
Calon Pheu Thai yang juga bekas Peguam Negara, Chaikasem Nitisiri ketinggalan jauh dengan hanya meraih kira-kira separuh daripada undi yang diperoleh Anutin.
Mahkamah Agung dijangka membuat keputusan pada Selasa berhubung kes penahanan Thaksin di hospital selepas beliau pulang daripada buangan pada Ogos 2023, keputusan yang mungkin menjejaskan kesahihan pembebasan awalnya tahun lalu.
Walaupun kes itu tidak menyentuh soal kesalahannya, penganalisis menjangkakan keputusan itu boleh menyebabkan beliau dipenjara semula.
Anutin sebelum ini pernah menyokong gabungan Pheu Thai tetapi menarik diri musim panas ini, dipercayai kerana tidak berpuas hati dengan cara Paetongtarn mengendalikan pertikaian sempadan dengan Kemboja. – AFP










