BAITULUQADDIS: Israel menjangkakan serangan besar-besaran yang dirancang terhadap Semenanjung Gaza bakal menyebabkan sehingga sejuta rakyat Palestin kehilangan tempat tinggal, menurut seorang pegawai kanan tentera Israel.
Kenyataan itu dikeluarkan ketika pasukan pertahanan awam Gaza melaporkan puluhan orang awam terbunuh dalam serangan udara dan darat yang berterusan di seluruh wilayah terbabit.
Ketegangan terus memuncak menjelang operasi ketenteraan Israel yang lebih agresif untuk menguasai Gaza City yang merupakan kawasan paling padat di rantau itu.
Menurut seorang pegawai kanan dari COGAT, unit di bawah Kementerian Pertahanan Israel yang mengurus hal ehwal awam di wilayah Palestin, sekitar 70,000 penduduk Palestin telah meninggalkan bahagian utara Gaza dalam beberapa minggu kebelakangan ini.
Pegawai itu yang enggan identitinya tidak didedahkan, menyatakan pihak berkuasa Israel menjangka hingga “sejuta orang” akan melarikan diri ke selatan, namun enggan memberi jangka masa yang tepat.
Krisis kemanusiaan yang melanda Gaza sejak perang tercetus pada Oktober 2023 semakin meruncing.
Dalam tempoh hampir dua tahun, lebih dua juta penduduk Gaza dilaporkan telah kehilangan tempat tinggal sekurang-kurangnya sekali, menjadikan konflik ini antara yang paling dahsyat dari segi kesan terhadap orang awam.
Walaupun tekanan antarabangsa agar peperangan dihentikan semakin meningkat, Israel tetap memperhebat operasi ketenteraannya.
Puluhan ribu anggota simpanan telah dipanggil untuk memperkuat pasukan menjelang serangan besar ke atas Gaza City.
Menurut pegawai COGAT, Israel merancang menubuhkan “zon kemanusiaan” yang merangkumi kawasan dari kem pelarian di tengah Gaza hingga ke Al-Mawasi di selatan dan kawasan timur semenanjung itu.
Namun, kenyataan itu bercanggah dengan situasi di lapangan. Kawasan pantai Al-Mawasi yang sebelum ini diisytiharkan sebagai zon kemanusiaan oleh Israel, telah beberapa kali menjadi sasaran serangan.
Pada pertengahan Ogos, jurucakap pejabat hak asasi manusia PBB, Thameen al-Kheetan, melaporkan bahawa rakyat Palestin di Al-Mawasi menghadapi akses yang sangat terhad kepada makanan, air bersih, elektrik dan tempat perlindungan.











