Pintas maklumat pengguna, Google didenda AS$425 juta

Pintas maklumat pengguna, Google didenda AS$425 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAN FRANCISCO: Juri Mahkamah Persekutuan di Amerika Syarikat (AS) mengarahkan Google membayar denda sebanyak AS$425 juta (RM1.8 bilion) kerana mengumpul maklumat daripada penggunaan aplikasi telefon pintar walaupun pengguna telah memilih tetapan privasi, menurut pengesahan syarikat itu.

“Kes ini berkaitan dengan pemintasan secara haram oleh Google terhadap aktiviti peribadi pengguna pada aplikasi mudah alih,” kata peguam pihak plaintif dalam saman tindakan berkumpulan yang difailkan pada Julai 2020.

Keputusan juri itu dibuat di akhir perbicaraan di San Francisco, sehari selepas seorang hakim persekutuan di Washington memberikan kemenangan kepada syarikat gergasi internet itu dengan menolak permintaan kerajaan supaya Google menjual pelayar web Chrome dalam satu kes antitrust besar.

“Keputusan ini salah faham cara produk kami berfungsi, dan kami akan memfailkan rayuan.

“Alat privasi kami memberikan kawalan kepada pengguna terhadap data mereka, dan apabila mereka mematikan pemperibadian, kami menghormati pilihan itu,” kata jurucakap Google, Jose Castaneda.

Dalam saman itu, plaintif berhujah Google memintas, menjejak, mengumpul dan menjual data aktiviti pengguna aplikasi mudah alih tanpa mengira tetapan privasi yang dipilih oleh pengguna.

“Janji dan jaminan privasi Google adalah pembohongan terang-terangan,” kata peguam plaintif.

Google ditekan mengimbangi antara penyasaran iklan yang menjadi teras kejayaan kewangannya dengan perlindungan privasi pengguna.

Syarikat gergasi dari Silicon Valley itu berusaha menggantikan penggunaan ‘cookies’ untuk menjejak aktiviti dalam talian dengan satu mekanisme yang kurang invasif tetapi tetap berkesan.

Cookies ialah fail kecil yang disimpan dalam pelayar oleh laman web dan boleh mengumpul data mengenai aktiviti dalam talian pengguna. Ia penting dalam dunia pengiklanan dalam talian dan model perniagaan banyak platform besar.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×