ROM: Dunia fesyen antarabangsa kehilangan seorang tokoh apabila pereka tersohor Itali, Giorgio Armani, dilaporkan meninggal dunia pada usia 91 tahun, menurut kenyataan rasmi syarikat fesyennya yang dimuat naik di media sosial pada Khamis, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Menurut kenyataan itu, Armani masih aktif bekerja sehingga ke akhir hayat dan menghembuskan nafas terakhir di sisi insan tersayang.
Dilahirkan pada 11 Julai 1934 di Piacenza, utara Itali, Armani membesar di Milan selepas keluarganya berpindah ke sana pasca Perang Dunia Kedua.
Beliau pada awalnya melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan, namun memilih untuk meninggalkan pengajian selepas dua tahun bagi mengikuti minatnya dalam dunia fesyen.
Dikenali dengan gelaran ‘Principe della Moda’ (Putera Fesyen), Armani ialah anak kedua daripada tiga beradik, hasil perkongsian hidup seorang suri rumah dan pekerja penghantaran barang.
Beliau mendirikan jenama Giorgio Armani pada tahun 1975, dan sejak itu mencipta legasi sebagai ikon global, terkenal dengan rekaan yang ringkas, sofistikated dan penuh elegan.
Gaya rekaannya telah menjadi pilihan ramai selebriti Hollywood termasuk Richard Gere, Kevin Costner, Nicole Kidman dan Cate Blanchett di pelbagai acara permaidani merah.
Armani muncul buat kali terakhir di pentas pada 28 Januari 2025, di akhir pertunjukan koleksi Haute Couture Musim Bunga/Musim Panas Giorgio Armani Privé di Paris.
Pada tahun lalu, beliau pernah menyuarakan hasrat untuk bersara, namun menyatakan masih akan menerajui empayarnya “untuk beberapa tahun lagi”.
Pemergiannya menandakan berakhirnya satu era dalam sejarah fesyen global, namun legasinya kekal terpahat sebagai lambang keanggunan dan inovasi Itali.










