Pengiktirafan hanya sebabkan Palestin alami lebih banyak masalah - AS - Utusan Malaysia

Pengiktirafan hanya sebabkan Palestin alami lebih banyak masalah – AS

MARCO RUBIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

QUITO: Amerika Syarikat (AS) memberi amaran langkah negara-negara lain untuk mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara berdaulat secara unilateral berisiko mencetuskan lebih banyak masalah dan mengganggu proses damai yang rapuh, kata Setiausaha Negara AS, Marco Rubio.

Dalam satu sidang media bersama Presiden Ecuador, Daniel Noboa, Rubio menyifatkan pengiktirafan sepihak sebagai “palsu” dan “tidak realistik”, serta berpotensi mengeruhkan lagi ketegangan serantau.

“Jika anda lakukan pengiktirafan ini, anda akan mencipta masalah,” kata Rubio, sambil menegaskan langkah itu boleh menyukarkan rundingan gencatan senjata dan membuka ruang kepada keganasan baharu.

Kenyataan itu dikeluarkan ketika beberapa negara kuasa besar seperti Britain, Perancis, Kanada, Australia dan Belgium mempertimbangkan untuk mengiktiraf Palestin sebagai tekanan diplomatik terhadap Israel berikutan krisis kemanusiaan yang berlarutan di Gaza.

Presiden Perancis, Emmanuel Macron, menjadi pemimpin Barat pertama menyokong langkah tersebut secara terbuka, dengan syarat reformasi pentadbiran dilaksanakan oleh pihak Berkuasa Palestin, terutamanya dalam usaha mentadbir Gaza selepas konflik.

Rubio bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai rancangan Israel untuk menggabungkan wilayah Tebing Barat, dengan menyatakan isu itu “belum dimuktamadkan.”

Washington mengekalkan pendiriannya bahawa pengiktirafan negara Palestin hanya boleh berlaku melalui penyelesaian dua negara hasil rundingan langsung, selari dengan dasar yang telah lama dipegang AS.

Namun, pendirian ini kini dilihat semakin tercabar apabila sokongan terhadap Palestin dalam kalangan negara Eropah semakin meningkat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×