NEW YORK: Tindakan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu menyiarkan ucapannya di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke Semenanjung Gaza melalui pembesar suara tentera mencetuskan kecaman hebat di dalam dan luar Israel.
Pejabat Netanyahu dalam kenyataan mengesahkan pihaknya mengarahkan tentera memasang pembesar suara di atas trak di sepanjang pagar sempadan Gaza bagi memastikan ucapannya didengari di seluruh wilayah itu.
Media Israel turut melaporkan askar diarahkan pada malam Khamis untuk membawa sistem pembesar suara ke dalam dan sekitar sempadan Gaza.
Langkah itu disusuli dakwaan risikan Israel turut menggodam telefon pintar penduduk Gaza dan anggota Hamas untuk menyalurkan ucapannya secara langsung, namun wartawan Associated Press di Gaza berkata, mereka tidak melihat ucapan Netanyahu disiarkan melalui telefon di wilayah itu.
Seorang pegawai tentera yang dipetik akhbar Haaretz menyifatkan operasi itu sebagai ‘idea gila’ tanpa sebarang manfaat ketenteraan”.
Netanyahu dalam ucapannya mengulangi pendirian menolak kewujudan negara Palestin, mengecam pengiktirafan oleh beberapa negara Barat sebagai memalukan serta berikrar untuk meneruskan serangan sehingga tugasnya menghapuskan Hamas di Gaza selesai.
Beliau mendakwa baki pejuang Hamas masih bertahan di Gaza City dan kumpulan itu bercita-cita mengulangi serangan pada 7 Oktober 2023.
Ucapan Netanyahu yang diboikot lebih 100 diplomat dari 50 negara yang bertindak keluar dewan itu turut sarat dengan penafian terhadap dakwaan genosid, kebuluran, dan pengusiran paksa yang diutarakan oleh PBB serta komuniti antarabangsa.
Pengarah Hal Ehwal Eropah di Kementerian Luar Palestin, Adel Atieh, menyifatkan ucapan Netanyahu sebagai penuh pembohongan, tiada visi dan hanya menggambarkan pengasingan yang semakin mendalam.
Seorang penduduk Gaza, Fadi, menempelak siaran paksa ucapan tersebut.
“Apa yang beliau dapat dengan menyiarkan ucapannya kepada penduduk yang terkepung di dalam khemah, selain daripada terus menghina mereka?” katanya.
Di Israel, pembangkang turut mengecam tindakan Netanyahu.
Ketua pembangkang, Yair Lapid berkata, Netanyahu tampil letih dan hanya kelihatan merungut dengan ucapan penuh ‘gimik basi’.
Anggota parti Demokrat Israel, Yair Golan pula menyifatkannya sebagai mentaliti pemangsa, hipokrit dan buta terhadap penderitaan tebusan serta pengorbanan tentera.
Sementara itu, agensi pertahanan awam Gaza melaporkan sekurang-kurangnya 22 orang terbunuh sejak awal pagi Jumaat, termasuk 11 di Gaza City, tatkala serangan udara Israel berterusan.
Sehingga kini, angka korban perang mencecah lebih 65,000 rakyat Palestin, majoritinya orang awam, dengan 160,000 lagi cedera, menurut data Kementerian Kesihatan Gaza yang disahkan PBB.











