Netanyahu kecam PM Belgium 'lemah' kerana mahu iktiraf Palestin - Utusan Malaysia

Netanyahu kecam PM Belgium ‘lemah’ kerana mahu iktiraf Palestin

BENJAMIN NETANYAHU
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAITULMUQADDIS: Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mengecam keras keputusan Belgium yang mengiktiraf negara Palestin, dengan menyifatkan Perdana Menteri Belgium, Bart de Wever sebagai seorang pemimpin “lemah” yang menurutnya tunduk kepada keganasan.

Kenyataan itu dikeluarkan susulan pengumuman rasmi Belgium yang menyertai beberapa negara Barat lain, termasuk Australia, Kanada dan Perancis, dalam memberikan sokongan terhadap penubuhan negara Palestin.

Pengiktirafan Belgium diumumkan menjelang Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bulan ini, dalam suasana ketegangan diplomatik yang semakin meningkat terhadap Israel yang kini berdepan tekanan antarabangsa susulan operasi ketenteraannya di Gaza yang telah berlarutan hampir dua tahun.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Pejabat Netanyahu menerusi platform X, Netanyahu mendakwa de Wever cuba mengalah kepada tekanan dan keganasan dengan mengorbankan keselamatan serta kedudukan Israel.

Kenyataan itu mencerminkan kekecewaan dan kebimbangan kerajaan Israel terhadap gelombang sokongan antarabangsa yang semakin meningkat terhadap Palestin.

Bagaimanapun, Menteri Luar Belgium, Maxime Prevot tampil mempertahankan pendirian kerajaannya, dengan menyatakan keputusan tersebut diambil berdasarkan tragedi kemanusiaan yang sedang berlaku di Gaza.

Beliau juga berikrar untuk mengenakan sekatan tegas terhadap Israel sebagai sebahagian daripada tekanan diplomatik bagi menghentikan kekejaman di wilayah itu.

Tindakan Belgium turut mencetuskan reaksi keras dalam kalangan anggota kabinet Israel, terutamanya daripada sayap kanan.

Menteri Kewangan Israel, Bezalel Smotrich, menyeru agar Israel mengambil langkah balas termasuk mengilhak lebih banyak wilayah di Tebing Barat yang kini diduduki, selari dengan pendirian ekstrem sayap kanan dalam pemerintahan Netanyahu.

Langkah pengiktirafan oleh Belgium dan beberapa negara lain hadir ketika Israel sedang memperhebatkan serangan ke atas kawasan sekitar Gaza City.

Israel melancarkan kempen ketenteraan besar-besaran ke atas Semenanjung Gaza, yang sehingga kini telah menyebabkan sekurang-kurangnya 63,746 rakyat Palestin terkorban.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×