HOUSTON: Seorang lelaki berusia 42 tahun didakwa selepas menembak mati seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun yang sekadar membunyikan loceng rumahnya sebelum melarikan diri, dalam satu insiden tragis di Houston, Texas, Sabtu lalu.
Mangsa, Julian Guzman dilaporkan bermain permainan gurauan dikenali sebagai ‘ding dong ditch’ atau menekan loceng rumah dan melarikan diri bersama rakan-rakannya sekitar pukul 11 malam (waktu tempatan), sebelum ditembak suspek.
Menurut Jabatan Polis Houston (HPD), suspek yang dikenali sebagai Gonzalo Leon Jr. ditangkap pada Selasa dan kini ditahan di Penjara Daerah Harris.
“Penyiasat dimaklumkan mangsa bersama beberapa kanak-kanak lain bermain dengan menekan loceng rumah sekitar kawasan tersebut sebelum melarikan diri. Seorang saksi memberitahu mangsa dilihat berlari dari arah sebuah rumah selepas menekan loceng, sejurus sebelum dia terkena tembakan,” kata kenyataan HPD.
Guzman yang cedera parah akibat tembakan sempat dihantar ke hospital berdekatan namun disahkan meninggal dunia pada Ahad.
Seorang individu yang berada di lokasi kejadian turut ditahan untuk siasatan tetapi dibebaskan selepas memberi keterangan.
Detektif Jabatan Siasatan Jenayah Polis Houston, Sarjan Michael Cass memaklumkan kepada stesen televisyen tempatan, KHOU, saksi mendakwa seseorang berlari keluar dari rumah dan melepaskan tembakan ke arah kumpulan kanak-kanak yang sedang berlari di kawasan jalan.
“Malangnya, seorang daripada mereka yang berusia 11 tahun terkena tembakan di bahagian belakang,” katanya sambil menambah insiden itu tidak menunjukkan sebarang elemen mempertahankan diri.
Fenomena permainan ‘ding dong ditch’ semakin popular di media sosial, khususnya TikTok, namun ia pernah mencetuskan insiden maut sebelum ini di mana pada Mei lalu, seorang lelaki di Virginia didakwa atas kesalahan membunuh selepas menembak mati seorang remaja yang merakam video TikTok ketika bermain permainan tersebut, lapor New York Times.
Sementara itu, pada tahun 2023, seorang lelaki di California disabitkan kesalahan membunuh tiga remaja selepas merempuh mereka dengan kereta kerana mangsa dikatakan menekan loceng rumahnya. -AGENSI