SOUTHPORT: Seorang lelaki yang menggelarkan dirinya sebagai ‘pelik’ telah menghabiskan masa selama tiga dekad untuk menggali secara manual satu rangkaian gua bawah tanah yang menakjubkan, 20 kaki di bawah halaman belakang rumahnya di Southport.
Pada pandangan mata kasar, rumah milik Francis Proctor, 76, kelihatan biasa seperti kediaman lain. Namun, tersembunyi di bawah permukaannya adalah sebuah dunia bawah tanah luar biasa, lengkap dengan laluan berliku, ruang kecil dan ciri-ciri unik yang sering memukau para pengunjung.
Bekas jurugambar itu memulakan projek ini hanya dengan peralatan menggali asas, satu usaha yang beliau sendiri akui bermula sebagai idea yang ‘gila’.
“Apabila kami beli rumah ini lebih 50 tahun lalu, saya mahu ada sebuah bilik bawah tanah yang boleh dimasuki terus dari taman. Ia kedengaran agak mengarut, tapi saya dapat ilham daripada Gua Blue John di Derbyshire,” katanya.
Kediaman Francis terletak di kawasan bukit pasir berhampiran Pantai Ainsdale, satu lokasi yang secara logiknya dianggap tidak sesuai untuk pembinaan ruang bawah tanah kerana struktur pasir yang mudah runtuh.
Namun, isterinya yang telah meninggal dunia, Barbara, seorang ahli matematik dan statistik, mempunyai pandangan berbeza.
“Kalau anda gali dalam pasir, ia akan runtuh dengan mudah. Jadi ramai yang fikir memang mustahil nak bina gua di sini.
“Tapi semasa kami buat sambungan rumah dan perkuatkan asasnya, Barbara teliti pelan dan kata ia sebenarnya boleh dilakukan. Dia tunjukkan kiraan dan kaedah yang betul untuk pastikan struktur gua kekal stabil,” jelas Francis.
Dengan panduan dan pengiraan tepat daripada Barbara, pasangan itu menggali sedikit demi sedikit sehinggalah mereka berjaya membentuk sebuah ruang bawah tanah sedalam 20 kaki, satu pencapaian luar biasa hasil kerja tangan selama 30 tahun. -AGENSI










