UTTAR PRADESH: Seorang bayi lelaki berusia dua bulan dilaporkan maut selepas dilarikan dan dibuang ke dalam tong air oleh sekumpulan monyet liar yang agresif, menurut laporan media tempatan.
Insiden tragis itu berlaku di sebuah rumah di kampung Surajpur ketika bayi berkenaan sedang tidur. Kumpulan monyet terbabit dipercayai menceroboh masuk ke dalam rumah semasa ahli keluarga sedang menjalankan kerja harian.
Bayi tersebut dilaporkan hilang secara tiba-tiba, menyebabkan ibu bapanya panik sebelum memulakan usaha mencari. Mereka akhirnya terdengar tangisan lemah dari atas bumbung rumah, sebelum menemui anak mereka dalam sebuah tong berisi air.
Mangsa segera dibawa ke hospital berdekatan, namun disahkan meninggal dunia sebaik tiba.
Pihak polis telah hadir ke lokasi kejadian, menjalankan siasatan awal dan menghantar mayat bayi untuk bedah siasat.
Kejadian ini telah menggemparkan penduduk kampung, yang turut meluahkan kebimbangan terhadap masalah berpanjangan melibatkan tingkah laku ganas monyet di kawasan tersebut.
Penduduk mendesak agar pihak berkuasa mengambil tindakan segera bagi menangani ancaman haiwan liar yang semakin menjadi-jadi dan kini telah meragut nyawa.-AGENSI










