GAZA: Kumpulan Pemantau Hak Asasi Manusia Euro-Mediterranean menuduh Israel melaksanakan dasar ugutan berbahaya terhadap keluarga Palestin di Semenanjung Gaza dengan memaksa mereka memilih sama ada bekerjasama dengan tentera atau berdepan pembunuhan beramai-ramai, kebuluran dan pengusiran.
Dalam satu kenyataan, kumpulan itu berkata pasukan lapangannya telah mendokumentasikan perubahan taktik daripada mensasarkan individu kepada menekan seluruh keluarga dengan ugutan bunuh atau diusir jika enggan menyertai militia tempatan yang setia kepada Israel.
Taktik itu disamakan dengan pembentukan kumpulan dikenali sebagai ‘Abu Shabab Gang’ di Rafah.
Sebagai contoh, kumpulan itu merujuk kepada pembantaian keluarga Bakr di kem pelarian Shati, Gaza, yang menyaksikan sembilan ahli keluarga termasuk wanita dan kanak-kanak terbunuh.
Menurut kumpulan itu lagi, pembunuhan itu berlaku selepas keluarga berkenaan menolak tawaran Israel untuk terus tinggal di rumah mereka dengan syarat membentuk sebuah militia.
Keluarga al-Deiri dan Daghmash turut menerima tawaran serupa. Selepas menolak, serangan Israel dilaporkan semakin hebat di kejiranan al-Sabra, Gaza City, yang mengorbankan lebih 60 orang awam.
Kumpulan tersebur menegaskan tindakan itu jelas merupakan jenayah perang sepenuhnya mengikut Statut Rom yang melarang sebarang paksaan terhadap orang awam untuk bekerjasama dengan pasukan tentera musuh.