DAMSYIK: Kemarau paling buruk dalam beberapa dekad kini melanda sebahagian besar Mediterranean Timur dan Asia Barat, mengeringkan sungai serta tasik, merosakkan tanaman dan menyebabkan gangguan bekalan air selama berhari-hari di bandar utama.
Situasi paling teruk dialami di Syria, dengan pakar berkata hujan semakin berkurangan sejak beberapa dekad lalu.
Negara yang masih bergelut untuk bangkit selepas 14 tahun perang saudara, kini menyaksikan berjuta-juta rakyat hidup dalam kemiskinan dan bergantung kepada bantuan asing.
KEBERGANTUNGAN BANTUAN LUAR
Pegawai Keselamatan Makanan Kebangsaan Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Syria, Jalal Al Hamoud berkata, disebabkan kemarau yang berlaku selepas perang berpanjangan, kumpulan petani yang sudah pun tertekan dari segi kewangan tidak lagi mampu menanggung kesannya.
Petani kecil di pinggir bandar Damsyik, Mansour Mahmoud Al-Khatib berkata, ladangnya sebelum ini terjejas akibat sekatan kumpulan yang Hezbollah yang menyokong bekas Presiden Bashar al-Assad.
Namun, selepas Bashar digulingkan dalam serangan pejuang pada Disember lalu dan Hezbollah berundur, ladangnya kini terkesan dengan kemarau sehingga telaga pengairan kering.
Mansour berkata, ladangnya mampu menghasilkan 800 hingga 900 kilogram gandum bagi setiap 0.1 hektar, namun kali ini hanya sekitar suku daripada jumlah tersebut.
Menurut pengarah perancangan dan ekonomi pertanian di Kementerian Pertanian Syria, Saeed Ibrahim, sebelum kebangkitan rakyat yang bertukar menjadi perang saudara pada 2011, petani menghasilkan purata 3.5 juta hingga 4.5 juta tan gandum setahun, jumlah yang mencukupi untuk memenuhi keperluan domestik negara itu.
Namun, hasil tahunan itu merosot kepada 2.2 juta hingga 2.6 juta tan sepanjang perang, dan dalam beberapa tahun kebelakangan ini, kerajaan terpaksa mengimport 60 hingga 70 peratus gandum bagi menampung keperluan kira-kira 23 juta penduduknya.
Hasil tuaian tahun ini dijangka hanya sekitar satu juta tan, memaksa negara itu membelanjakan lebih banyak sumber terhad untuk tujuan import.
Jurucakap Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Perlindungan Pengguna Syria, Mudar Dayoub berkata, hasil gandum tahun ini hanya mampu bertahan selama dua hingga tiga bulan, dan kerajaan kini bergantung kepada kontrak import dari luar negara serta sumbangan, termasuk daripada negara jiran Iraq.
Beliau memberi amaran kebergantungan sepenuhnya kepada import dan bantuan luar ‘mengancam keselamatan makanan’ serta tidak mampan untuk jangka panjang.
KRISIS YANG SALING BERKAITAN
Sebuah empangan di Sungai Litani di Lembah Bekaa, Lubnan, yang subur membentuk Tasik Qaraoun, takungan seluas kira-kira 12 kilometer persegi.
Sejak beberapa tahun lalu, perubahan iklim menyebabkan aliran air ke dalam takungan semakin berkurangan, kata Ketua Pihak Berkuasa Sungai Litani, Sami Alawieh.
Musim panas tahun ini menyaksikan Tasik Qaraoun mengecil drastik sehingga hanya sebesar sebuah kolam, dikelilingi kawasan luas tanah gersang.
Sami berkata, walaupun secara purata 350 juta meter padu air mengalir ke tasik itu setiap musim hujan, tahun ini jumlahnya tidak melebihi 45 juta meter padu.
Krisis air di Lubnan memburukkan lagi kemarau di Syria, yang sebahagiannya bergantung kepada sungai mengalir dari negara jiran di barat itu.
Bahkan, sungai Orontes, juga dikenali sebagai Assi, yang menjadi sumber utama pengairan dan punca rezeki nelayan di wilayah Idlib, Syria, kini kering kontang.
Pengarah sumber air wilayah Idlib, Mostafa Summaq berkata, paras air bawah tanah susut lebih 10 meter dalam tempoh tiga bulan di beberapa telaga pemantauan, disebabkan pam berlebihan ekoran ketiadaan hujan.
Pegawai tempatan kini mempertimbangkan pemasangan sistem pengairan bermeter, namun kosnya terlalu tinggi untuk dilaksanakan tanpa bantuan luar, katanya.
Kebanyakan pakar bersetuju Syria dan rantau sekitar sedang menuju ke arah kejutan iklim yang lebih buruk, dan mereka tidak bersedia untuk menanganinya.
Perubahan iklim menjadikan sesetengah kawasan lebih lembab, manakala kawasan lain semakin kering, dengan Asia Barat dan Mediterranean termasuk dalam kategori yang semakin mengering, kata Profesor di Universiri Aalto, Finland, Matti Kummu.
Syria khususnya menunjukkan trend penurunan taburan hujan sejak 40 tahun lalu, di samping penggunaan air pada kadar yang tidak mampan. – AP










