WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump, menggesa kumpulan Hamas segera membebaskan semua tebusan yang masih ditahan di Gaza, sambil memberi amaran kegagalan berbuat demikian akan mencetuskan “situasi yang sukar dan buruk.”
“Kami dalam rundingan yang sangat mendalam dengan Hamas. Kami kata, ‘bebaskan semua sekarang, lepaskan mereka semua, dan perkara yang lebih baik akan berlaku,’” kata Trump kepada wartawan di Pejabat Oval.
Menurut beliau, jika Hamas enggan mengembalikan tahanan yang masih hidup, “keadaan akan jadi sangat tegang dan buruk… Itu keputusan Israel, tapi itu pendapat saya.”
Trump turut merujuk kepada ahli keluarga tebusan yang telah terbunuh, menyebut mereka sebagai “anak-anak muda yang cantik dan kini sudah tiada.”
Beliau mendedahkan sekurang-kurangnya 20 tebusan yang dipercayai masih hidup.
Dalam kenyataan terbaharunya di platform Truth Social, Trump sekali lagi mendesak Hamas membebaskan baki tebusan hidup, sambil memberi bayangan AS mungkin menerima kewujudan Hamas sekiranya mereka memenuhi tuntutan tersebut.
“Saya dan pasukan saya termasuk Steve Witkoff dan Jared Kushner, yang memainkan peranan besar dalam hal ini sudah bebaskan ramai tahanan sebelum ini,” katanya, merujuk kepada menantunya yang pernah menjadi penasihat kanan semasa pentadbiran terdahulu.
Trump juga menyatakan realiti pahit dalam rundingan tebusan: “Bila tinggal 10 atau 20 orang terakhir, kamu takkan dapat mereka tanpa melakukan banyak pengorbanan. Tapi kalau terlalu beralah, itu juga tidak baik. Ia satu situasi yang sangat sukar.”










