GAZA: Serangan tanpa henti Israel yang berlarutan lebih 700 hari menjadikan Semenanjung Gaza umpama padang jarak dengan hampir keseluruhan infrastrukturnya musnah dan kerugian dianggarkan melebihi AS$68 bilion (RM287 bilion).
Menurut Pejabat Media Kerajaan Gaza, kempen ketenteraan Israel memusnahkan 90 peratus infrastruktur Gaza, selain melaksanakan dasar sistematik pembunuhan beramai-ramai dan pengusiran paksa.
Data semasa menunjukkan lebih 73,700 orang terbunuh atau masih hilang, termasuk 20,000 kanak-kanak dan 12,500 wanita.
Sebanyak 2,700 keluarga turut dihapuskan sepenuhnya daripada daftar sivil.
Antara mangsa korban termasuk 1,670 petugas perubatan, 248 wartawan, 139 anggota pertahanan awam serta 173 kakitangan majlis perbandaran.
Sementara itu, lebih 162,000 lagi cedera, kebanyakannya mengalami kecacatan kekal seperti kudung, lumpuh dan hilang penglihatan.
Pejabat itu juga melaporkan kemusnahan 38 hospital, 833 masjid dan 163 institusi pendidikan, di samping kerosakan besar terhadap ribuan kemudahan awam lain.
Israel turut dituduh melaksanakan pengusiran besar-besaran dengan menghalang penduduk kembali ke rumah mereka di Gaza City dan wilayah utara, selain menggunakan kebuluran sebagai senjata perang.
Ratusan ribu trak bantuan dikatakan masih dihalang daripada memasuki Gaza, mendorong 2.4 juta penduduk termasuk lebih sejuta kanak-kanak berada di ambang kebuluran.
Memandangkan Israel serta sekutunya terutama Amerika Syarikat (AS) bertanggungjawab atas kemusnahan, pejabat itu menyeru negara Arab dan Islam, masyarakat antarabangsa serta
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) supaya bertindak segera untuk menamatkan pencerobohan.

Ia turut menuntut menarik balik sekatan, memastikan kepulangan keluarga Palestin yang dipindahkan dan mendakwa pemimpin Israel di mahkamah antarabangsa.
November lalu, Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) mengeluarkan waran tangkap terhadap Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanan, Yoav Gallant, atas jenayah perang serta kemanusiaan di Gaza.
Israel juga berdepan kes pembunuhan beramai-ramai di Mahkamah Keadilan Antarabangsa berhubung perang di wilayah itu.
KEADAAN ‘AMAT MENAKUTKAN’
Israel memusnahkan sebuah lagi bangunan tinggi di Gaza City, menjadikan sekurang-kurangnya 50 bangunan diratakan sepanjang kempen ketenteraannya untuk menawar kawasan bandar terbesar di wilayah itu.
Pertahanan Awam Palestin berkata, serangan ke atas Menara Al-Ruya kelmarin, berlaku ketika tentera Israel membunuh sekurang-kurangnya 65 nyawa di seluruh Gaza, termasuk di 49 orang di bahagian utara.
Ketua Rangkaian NGO Palestin, Amjad Shawa, memberi amaran keadaan di Gaza ‘amat menakutkan’ selepas Israel memusnahkan bangunan tersebut, sekali gus menyebabkan ratusan keluarga kehilangan tempat berlindung.
Katanya, letupan tersebut bertujuan memaksa penduduk Palestin berpindah ke selatan, namun menegaskan tiada kawasan yang benar-benar selamat di wilayah itu.
Netanyahu mendakwa kononnya serangan itu menyasarkan infrastruktur pengganas, meskipun Menara Al-Ruya setinggi lima tingkat itu sekadar menempatkan 24 unit apartmen, pasar raya, klinik dan gimnasium.
Serangan berkenaan menyusul selepas tentera Israel mengebom Kelab Al Jazeera di pusat Gaza City, dengan khemah perlindungan turut musnah, serta meranapkan Menara Soussi setinggi 15 tingkat pada Sabtu dan bangunan 12 tingkat Menara Mushtaha pada Jumaat.
Beberapa penduduk yang berlindung berhampiran kawasan itu juga cedera.
“Kami meninggalkan bangunan dalam keadaan sehelai sepinggang,” kata seorang penduduk Palestin.
LETUPAN DARI SEMUA ARAH
Bulan lalu, Kabinet Keselamatan Israel meluluskan rancangan pendudukan tentera di Gaza City, langkah yang menurut Netanyahu menyebabkan perpindahkan 100,000 rakyat Palestin.
Ketika Israel terus menolak penduduk Gaza City berpindah ke selatan wilayah, rakyat Palestin menegaskan tiada lagi tempat yang selamat buat mereka di seluruh Gaza.
Kelmarin, Kementerian Dalam Negeri Gaza turut mengeluarkan kenyataan yang memberi amaran kepada penduduk Gaza City agar tidak mempercayai dakwaan Israel kononnya ia mewujudkan zon kemanusiaan di kawasan al-Mawasi, Khan Younis.
“Kami menyeru warga Gaza City agar berwaspada terhadap dakwaan tipu daya pihak pendudukan mengenai kewujudan zon selamat kemanusiaan di selatan Gaza,” menurut kenyataan itu.
Wartawan Al Jazeera, Hani Mahmoud melaporkan, setiap lima hingga 10 minit, kedengaran bunyi letupan dari semua arah di Gaza City.
“Tentera Israel menggunakan robot letupan kawalan jauh dan meletupkannya di jalan-jalan perumahan,” katanya.










