Dakwa dikasari dalam serbuan ICE, warga emas AS tuntut pampasan AS$50 juta - Utusan Malaysia

Dakwa dikasari dalam serbuan ICE, warga emas AS tuntut pampasan AS$50 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LOS ANGELES: Seorang warga emas rakyat Amerika Syarikat (AS) memfailkan tuntutan pampasan sebanyak AS$50 juta (RM211 juta) terhadap kerajaan selepas mendakwa beliau dikasari secara ganas oleh ejen imigresen dalam satu serbuan di premis miliknya di Los Angeles awal bulan ini.

Rafie Shouhed, 79, berkata dia ditolak ke tanah dan ditahan hampir 12 jam tanpa rawatan perubatan, walaupun sudah memaklumkan kepada ejen dia mempunyai masalah jantung.

Rakaman kamera litar tertutup menunjukkan beberapa ejen yang bertopeng dan bersenjata berat memegang serta menjatuhkannya ke tanah ketika menyerbu perniagaan cucian keretanya. Dalam rakaman itu, seorang ejen meletakkan lutut di leher Shouhed.

“Cara mereka layan saya, cara mereka serang saya… saya merayu, ‘Saya ada masalah jantung,’” kata Shouhed kepada pemberita.

Menurutnya, dia keluar untuk bertanya kepada kumpulan ejen berkenaan tentang apa yang sedang berlaku, namun hanya menerima ugutan: “‘Kamu jangan ganggu ICE,’ itu saja yang mereka kata.”

Serbuan oleh Jabatan Imigresen dan Penguatkuasaan Kastam (ICE) itu merupakan sebahagian daripada kempen keras Presiden Donald Trump terhadap pendatang tanpa dokumen, menjelang pilihan raya akan datang.

Serbuan di kawasan seperti Los Angeles menjadi kontroversi kerana didakwa menyasarkan individu semata-mata berdasarkan bahasa yang mereka gunakan atau lokasi kerja seperti tempat cuci kereta.

Menurut peguam Shouhed, anak guam mereka mengalami tulang rusuk patah, kecederaan serius pada siku dan trauma otak, dan hanya menerima rawatan selepas dibebaskan.

Walaupun pihak ICE telah mengesahkan Shouhed adalah warganegara AS, beliau masih ditahan selama beberapa jam lagi tanpa rawatan.

Tuntutan yang difailkan ini adalah langkah awal sebelum tindakan undang-undang penuh dibawa ke mahkamah.

Dalam kenyataan balas, jurucakap Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (DHS) berkata, serbuan pada 9 September lalu membawa kepada penangkapan lima individu dari Guatemala dan Mexico yang didakwa melanggar undang-undang imigresen, termasuk seorang yang pernah dua kali dihantar pulang pada 2015.

Pihak DHS turut mendakwa Shouhed menghalang tugas ejen dan menyerang pegawai persekutuan, namun peguamnya menafikan tuduhan itu dan menyatakan rakaman video menunjukkan beliau bersikap kooperatif sepanjang insiden.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×