GAZA: Tentera Israel memusnahkan sebuah bangunan tinggi di Gaza City pada Jumaat, susulan pengumuman mereka untuk menyasarkan semua bangunan kediaman yang didakwa digunakan oleh kumpulan Hamas.
Tindakan ini merupakan sebahagian daripada persiapan serangan besar-besaran yang dirancang untuk menawan bandar terbesar di wilayah Palestin tersebut.
Walaupun menghadapi tekanan dari dalam dan luar negara agar menghentikan serangan yang telah berlarutan hampir dua tahun, Israel tetap meningkatkan serangan udara, memanggil pasukan simpanan, dan memperketatkan kepungan di sekitar bandar Gaza.
Dalam satu kenyataan, tentera Israel memaklumkan mereka mengenal pasti aktiviti pengganas Hamas di pelbagai tapak infrastruktur di Gaza, terutamanya di bangunan tinggi.
Mereka menegaskan lokasi-lokasi ini akan menjadi sasaran dalam beberapa hari akan datang.
Kurang sejam selepas pengumuman tersebut, tentera Israel melancarkan serangan terhadap satu bangunan tinggi, yang didakwa digunakan oleh Hamas untuk merancang dan melaksanakan serangan terhadap pasukan tentera Israel di kawasan itu.
Rakaman video yang disediakan oleh agensi AFP menunjukkan Menara Mushtaha di kejiranan Al-Rimal, bandar Gaza, runtuh selepas letupan besar berlaku di bahagian bawah bangunan, menyebabkan asap dan debu tebal memenuhi udara.
Penduduk Palestin memeriksa runtuhan dan sisa bangunan yang musnah selepas serangan tersebut. Tentera Israel menyatakan bahawa mereka telah mengambil langkah berjaga-jaga termasuk memberi amaran awal untuk mengurangkan kemudaratan kepada orang awam.
Seorang penduduk Palestin berusia 50 tahun, Arej Ahmed, yang kini dipindahkan dan tinggal di khemah di barat daya Gaza City, memberitahu AFP bahawa suaminya melihat penduduk di Menara Mushtaha membuang barangan dari tingkat atas sebelum serangan dilancarkan.
“Kurang dari setengah jam selepas arahan pemindahan dikeluarkan, menara itu dibom,” katanya.
Jurucakap Pertahanan Awam Gaza, Mahmud Bassal, menuduh Israel melaksanakan dasar pemindahan paksa terhadap orang awam melalui serangan ke atas bangunan tinggi tersebut.
Menurut agensi itu, serangan Israel di bandar Gaza dan kawasan sekitarnya telah mengorbankan sekurang-kurangnya 19 orang, manakala keseluruhan kematian di wilayah itu pada hari Jumaat mencapai 42 orang.
Seorang anggota biro politik Hamas, Izzat al-Rishq, menafikan dakwaan Israel kumpulan itu menggunakan menara kediaman sebagai pusat operasi, menyifatkan ia sebagai alasan palsu dan pembohongan terang-terangan.
Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz, pula berikrar akan terus memperhebatkan operasi ketenteraan sehingga Hamas bersetuju dengan syarat yang ditetapkan bagi mengakhiri peperangan.










