NEW YORK: Empat organisasi berita terkemuka dunia iaitu BBC, Reuters, Associated Press (AP) dan Agence France-Presse (AFP) mendesak kerajaan Israel untuk membenarkan kemasukan wartawan antarabangsa ke Gaza bagi melaporkan secara bebas konflik yang berlaku di wilayah itu.
Desakan itu disuarakan menerusi sebuah filem pendek yang dilancarkan pada Rabu dalam satu acara anjuran Committee to Protect Journalists (CPJ) di New York bersempena Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA).
Video itu yang dinarasikan oleh wartawan veteran BBC, David Dimbleby mengetengahkan rakaman sejarah penting dari pelbagai konflik dunia yang pernah dilaporkan media, termasuk Perang Dunia Kedua, Perang Vietnam, kebuluran di Ethiopia, kekejaman di Rwanda, krisis pelarian Syria dan perang di Ukraine.
Dimbleby menekankan sejarah hanya dapat disampaikan oleh mereka yang menyaksikannya dan melaporkannya kepada dunia.
Namun apabila menyentuh mengenai Gaza, beliau menyatakan tanggungjawab melaporkan konflik kini hanya dipikul oleh wartawan Palestin yang bekerja dalam keadaan penuh risiko.
Katanya, kerajaan Israel masih tidak membenarkan wartawan asing memasuki Gaza dan menyeru halangan tersebut dihentikan segera bagi membolehkan wartawan antarabangsa bekerjasama dengan wartawan tempatan untuk menyampaikan fakta sebenar kepada masyarakat dunia.
Kenyataan bersama yang dikeluarkan oleh keempat-empat organisasi media itu turut menyuarakan kebimbangan terhadap keselamatan wartawan mereka di Gaza yang kini menghadapi kesukaran melampau, termasuk kekurangan makanan dan bekalan asas.
Mereka menyifatkan wartawan tempatan sebagai mata dan telinga dunia di Gaza selama beberapa bulan yang lalu namun kini mereka turut terhimpit oleh krisis kemanusiaan yang mereka laporkan.
CPJ dalam laporannya mendakwa satu daripada enam wartawan yang terbunuh di seluruh dunia sejak tahun 2016 berpunca daripada tindakan tentera Israel, kebanyakannya berlaku di Gaza sepanjang perang semasa.
Israel menafikan dakwaan tersebut dan mendakwa ramai individu yang terbunuh itu sebenarnya merupakan ahli kumpulan militan, bukan wartawan.
Sejak konflik tercetus pada 7 Oktober 2023, Israel tidak membenarkan kemasukan bebas wartawan antarabangsa ke Gaza, kecuali dalam lawatan yang dikawal rapi oleh pihak tentera. Walaupun terdapat permintaan daripada pelbagai pihak media, kerajaan Israel tetap menegaskan keadaan di Gaza terlalu berbahaya untuk membenarkan akses tanpa pengawasan ketenteraan.
Ketua Eksekutif BBC News, Deborah Turness menyatakan sudah hampir dua tahun genosid Gaza berlangsung, namun liputan bebas di Gaza masih tidak dibenarkan.
Sehubungan itu katanya, sudah tiba masa wartawan antarabangsa dibenarkan masuk untuk bekerjasama dengan wartawan tempatan supaya laporan telus dapat disampaikan.










