Balu Charlie Kirk dilantik ketuai Turning Point USA

Balu Charlie Kirk dilantik ketuai Turning Point USA

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Balu mendiang aktivis konservatif Charlie Kirk, Erika Kirk, dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan Pengerusi Lembaga Turning Point USA selepas kematian tragis suaminya minggu lalu.

Dalam pengumuman rasmi, Turning Point USA memaklumkan Charlie sebelum ini pernah menyatakan hasrat agar isterinya mengambil alih kepimpinan sekiranya beliau meninggal dunia.

“Menjadi penghormatan buat kami berkhidmat di sisi Charlie. Beliau membina Turning Point USA untuk terus bertahan meskipun menghadapi cabaran paling getir. Kini dengan penuh kebanggaan, kami mengumumkan Erika Kirk sebagai CEO dan Pengerusi Lembaga baharu,” menurut kenyataan itu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Turning Point USA menegaskan pihaknya akan terus menggalas perjuangan Charlie untuk memperkukuh visi konservatif, membawa generasi muda lebih dekat dengan Tuhan dan menjadikan Amerika Syarikat (AS) sebuah negara makmur.

Charlie Kirk menubuhkan Turning Point USA pada 2012 sehingga berkembang menjadi antara organisasi konservatif paling berpengaruh di negara itu, khususnya dalam menggerakkan sokongan anak muda kepada Presiden AS, Donald Trump serta gerakan Make America Great Again (MAGA).

Namun, organisasi itu tidak terlepas daripada kontroversi termasuk laporan majalah The New Yorker pada 2017 yang mendedahkan dakwaan diskriminasi terhadap staf minoriti.

Erika yang berkelulusan Sains Politik dan Hubungan Antarabangsa dari Universiti Negeri Arizona serta pemegang Doktor Falsafah Kepimpinan Kristian dari Liberty University, turut dikenali sebagai usahawan fesyen melalui jenama Proclaim Streetwear dan pernah bergelar pelakon, model serta pemenang ratu cantik Miss Arizona USA 2012.

Mendiang Charlie dan Erika berkahwin pada Mei 2021 di Arizona.

Satu majlis memperingati Charlie akan diadakan pada 21 September ini di Stadium State Farm, Glendale, Arizona yang dijangka dihadiri tokoh politik utama termasuk Trump, JD Vance serta Setiausaha Negara, Marco Rubio.

Trump sebelum ini turut mengumumkan akan menganugerahkan Pingat Kebebasan Presiden kepada Charlie sebagai menghargai sumbangan beliau kepada perjuangan konservatif di Amerika. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×