WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) merancang menamatkan bantuan ketenteraan yang sudah lama diberikan kepada negara-negara Eropah yang bersempadan dengan Russia, ketika pentadbiran Presiden Donald Trump mendesak benua itu untuk memainkan peranan lebih besar dalam pertahanan sendiri, lapor media pada Khamis.
Akhbar The Washington Post memetik enam individu yang mengetahui perkara itu, mengesahkan langkah tersebut, yang dilaporkan bakal memberi kesan kepada ratusan juta dolar bantuan yang bertujuan memperkukuh pertahanan terhadap ancaman Rusia.
Akhbar Financial Times turut melaporkan berita yang sama, menyatakan pegawai AS telah memaklumkan kepada diplomat-diplomat Eropah minggu lalu mengenai keputusan Washington untuk menghentikan pembiayaan program latihan dan persenjataan ketenteraan bagi negara-negara Eropah Timur yang bersempadan dengan Russia.
Seorang pegawai Rumah Putih merujuk kepada perintah eksekutif yang ditandatangani oleh Trump pada Januari lalu berkaitan penilaian semula bantuan luar AS, namun tidak mengesahkan secara khusus mengenai pemotongan bantuan keselamatan tersebut.
“Tindakan ini telah diselaraskan dengan negara-negara Eropah selaras dengan perintah eksekutif tersebut dan penekanan lama Presiden agar Eropah mengambil lebih banyak tanggungjawab dalam pertahanan mereka sendiri,” kata pegawai itu yang enggan dinamakan.
Keputusan untuk mengurangkan bantuan kepada negara-negara berhampiran Russia ini dibuat ketika Trump bergelut untuk menamatkan pencerobohan Rusia ke atas Ukraine yang telah berlarutan selama tiga tahun setengah.
Trump sejak sekian lama skeptikal terhadap perbelanjaan pertahanan AS di Eropah serta bantuan kepada Ukraine, dan mendesak sekutu-sekutu rapat Washington agar memainkan peranan lebih besar dalam kedua-dua aspek tersebut.










