ANKARA: Duta Amerika Syarikat (AS) ke Turkiye merangkap utusan khas ke Syria, Thomas Barrack menegaskan Washington tidak akan melakukan sebarang campur tangan ketenteraan terhadap Hezbollah dan mengesahkan Israel akan terus mengekalkan kedudukan di kawasan yang didudukinya di selatan Lubnan.
Dalam kenyataan kepada media, Barrack berkata, Israel tidak akan berundur dari lima kawasan pertikaian yang ditawan ketika peperangan lalu.
“Kami tidak akan bertindak terhadap Hezbollah, sama ada melalui tentera kami atau melalui Komando Pusat AS (CENTCOM),” katanya.
Beliau turut menyifatkan Hezbollah dan Iran sebagai ‘ular berbisa yang kepalanya mesti dipancung’, sekali gus menegaskan kedua-duanya adalah musuh utama AS.
Barrack turut menggesa kerajaan Lubnan menunjukkan kesediaan politik untuk melucutkan senjata Hezbollah, mendakwa kumpulan itu terus mengukuhkan kekuatan ketenteraan dan ekonominya dengan menerima sekitar AS$60 juta (RM251 juta) dari luar negara.
Israel melancarkan serangan ke atas Lubnan pada Oktober 2023 yang kemudian bertukar menjadi peperangan penuh pada September 2024, mengorbankan lebih 4,000 orang serta mencederakan 17,000 yang lain.
Walaupun gencatan senjata dicapai pada November 2024, Israel didakwa telah melanggar perjanjian itu lebih 4,500 kali berdasarkan rekod rasmi, mengakibatkan sekurang-kurangnya 276 kematian tambahan dan 613 kecederaan.
Sehingga kini, rejim Israel masih menguasai lima bukit di selatan Lubnan yang ditawan semasa perang, selain beberapa wilayah lain yang telah lama diduduki. -AGENSI










