LIMA, Peru: Sekurang-kurangnya 18 orang termasuk anggota polis dan wartawan cedera dalam pertempuran antara penunjuk perasaan dan pasukan keselamatan semasa protes antikerajaan di sini.
Protes besar-besaran yang berlangsung pada Sabtu itu menyaksikan ratusan penunjuk perasaan bertembung dengan polis dengan peserta membaling batu dan kayu, manakala polis melepaskan gas pemedih mata untuk menyuraikan mereka, menurut laporan wartawan AFP yang berada di lokasi.
Demonstrasi tersebut dianjurkan oleh kolektif anak muda yang dikenali sebagai “Generation Z”, dan bertukar ganas apabila penunjuk perasaan cuba menghampiri kawasan bangunan kerajaan di pusat bandar.
Ketika malam menjelma, kumpulan lain yang turut tidak berpuas hati dengan pentadbiran Presiden Dina Boluarte menyertai perarakan, dan berlakunya pertempuran fizikal dengan pihak berkuasa.
“Polis menembak peluru getah terus ke arah tubuh orang ramai,” kata Cesar Zamalloa, seorang jurufoto akhbar mingguan Hildebrandt En Sus Trece, yang turut cedera di bahagian kaki dan pinggul.
Kenyataan beliau dikongsikan oleh Persatuan Wartawan Nasional Peru (ANP) dalam satu siaran Facebook pada Ahad.
Polis Peru pada awalnya melaporkan tiga anggotanya cedera, namun jumlah itu meningkat kepada 12 orang menjelang Ahad.
Sementara itu, ANP menyatakan enam wartawan turut cedera akibat terkena peluru getah semasa membuat liputan protes, termasuk dua daripada stesen radio Exitosa Noticias.
Tindakan keras polis dikritik oleh ANP serta Penyelaras Hak Asasi Manusia Nasional Peru, yang menyifatkan kekerasan tersebut sebagai pencabulan hak terhadap penunjuk perasaan dan media.
Populariti Presiden Dina Boluarte terus merosot, dengan pelbagai tinjauan pendapat menunjukkan kerajaan dan Kongres Peru yang dikuasai golongan konservatif dianggap korup oleh majoriti rakyat.
Ketidakpuasan hati semakin meningkat selepas Kongres meluluskan undang-undang baharu minggu ini yang mewajibkan golongan muda menyertai skim pencen swasta, meskipun ramai berdepan dengan keadaan pekerjaan yang tidak menentu.










